Hidang nasi ayam claypot, ais kacang, anak Malaysia juara MasterChef Champion Of The Champions
Hidang nasi ayam claypot, ais kacang, anak Malaysia juara MasterChef Champion Of The Champions
ANAK kelahiran Ipoh, Perak, Ping Coombes sekali lagi membawa makanan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi apabila dipilih sebagai juara pertandingan MasterChef Champion Of The Champions, hujung minggu lalu.
Ping yang kini menetap di Bath, England pernah memenangi MasterChef pada 2014 menerusi menu masakannya yang berinspirasikan Malaysia.
Dia kembali dalam rancangan MasterChef Champion of Champions yang diadakan sempena sambutan tahun baharu dan bersaing dengan juara terdahulu iaitu Tim Anderson (2011), Saliha Mahmood Ahmed (2017), Kenny Tutt (2018) dan Irini Tzortzoglou (2019).
Ping berkata kemenangan kali kedua ini merupakan impian yang menjadi realiti.
“Kembali ke dapur MasterChef telah mengembalikan begitu banyak kenangan indah dan ia membuatkan saya berasa gembira.
“Saya meletakkan diri saya di sana sekali lagi, terbuka kepada kritikan. Apabila menerima pujian, saya rasa sangat gembira,” katanya.
Dalam pertandingan tersebut, Ping telah menyediakan masakan terkenal Malaysia iaitu nasi ayam claypot dan ais kacang yang diinovasi bersama meringue berperisa rose dan mousse jagung salted sweet dan dihiasi dengan taburan coconut ice flakes.
Hidangan tersebut telah berjaya mendapat pujian daripada dua orang juri, Gregg Wallace dan John Torode.
Gregg Wallace berkata pencuci mulut yang dihasilkan Ping benar-benar lazat.
“Masakannya hari ini sedap, tidak ada apa lagi boleh diperkatakan,” kata Torode.
Tambahnya, hidangan Ping menonjolkan dua sisi berbeza Ping iaitu sisi pertama yang sangat serius, sangat teknikal dan sisi kedua yang menyeronokkan. -SM