Hermes tangguh perniagaan di Rusia kerana perang Ukraine
PARIS: Kumpulan mewah Perancis Hermes memutuskan untuk menutup sementara kedainya di Rusia dan menghentikan aktiviti komersialnya mulai lewat hari ini.
Kumpulan itu menjalankan tiga kedai di Rusia, termasuk satu di gedung serbaneka Gum di Dataran Merah, dan menggaji 60 orang di negara itu.
“Sangat prihatin dengan keadaan di Eropah pada masa ini, dengan rasa kesal kami telah mengambil keputusan untuk menutup sementara kedai kami di Rusia dan menjeda semua aktiviti komersial kami mulai 4 Mac petang,” kata Hermes di laman LinkedInnya.
“Kami akan terus menyokong pasukan tempatan kami,” tambahnya.
Apabila ia menerbitkan keputusan kewangannya bulan lepas, Hermes berkata ia merancang untuk membuka sebuah kedai di St Petersburg tahun ini, tetapi ia ditunda.
Beberapa syarikat multinasional telah mengumumkan penggantungan aktiviti mereka di Rusia, termasuk gergasi perabot Sweden, Ikea.
“Perang itu telah memberi kesan besar kepada manusia. Ia juga mengakibatkan gangguan serius kepada rantaian bekalan dan keadaan perdagangan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada AFP semalam.
Antara lain yang telah menjeda aktiviti ialah Intel, Airbnb, ExxonMobil, Apple, Boeing dan Ford.