Nasional

Harumanis mula berbunga, musim buah akan tiba

MANGGA yang menjadi kebanggaan rakyat Perlis, harumanis kini sudah mula berbunga.

Pemandangan ini dapat dilihat di mana-mana sahaja di sekitar negeri ini khususnya pokok harumanis yang sudah matang.

Harumanis di Perlis sudah mula mengeluarkan bunga.

Menurut laman Facebook (FB) Jabatan Pertanian Negeri Perlis,
pengeluaran bunga harumanis kini mencapai 67 peratus sehingga 5 Januari lalu.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyarankan penanam harumanis melakukan kawalan bunga dan putik bagi memastikan bunga yang keluar akan mampu menghasilkan buah berkualiti premium.

Selain itu penanam harumanis juga perlu melakukan semburan baja untuk jaminan kualiti buah, selain menjalankan pembiakan agen pendebungaan seperti lalat.

Jabatan berkenaan juga mengingatkan penanam sentiasa berwaspada dengan kehadiran serangga perosak yang suka menyerang di musim bunga seperti kutu thrips, ulat bombatelia, lelompat daun dan hamama merah.

Harumanis sudah berputik sebesar ibu jari.

Salah seorang penanam harumanis, Zainol Ahmad, 67 dari Kampung Simpang Geti, Mata Ayer ini berharap sangat harumanis kali ini lebih berkualiti.

“Memang seronok tengok pokok dah mula berbunga tetapi belum tentu ia akan menjadi buah,” katanya yang mempunyai 300 pokok harumanis.

Harumanis kini rancak berbunga.

Beliau yang berkata, harumanis ini sebenarnya akan mengeluarkan bunga sebanyak tiga kali.

“Jika gagal menjadi buah pada kali pertama ia berbunga ataupun kedua, peluang ke tiga masih ada,” tambahnya.

Setakat ini, pokok harumanis yang ditanamnya ada yang sudah berbuah sebesar ibu jari.

“Jika ia terus membesar tanpa gangguan serangga atau hujan maka dalam tempoh dua bulan lagi sudah boleh dibalut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebagai penanam harumanis memang sentiasa dibimbangi dengan serangan serangga yang boleh menyebabkan kualiti buah terjejas.

Katanya, atas nasihat Jabatan Pertanian Perlis dan pengalaman yang ada akan digunakan sebaik mungkin supaya kualiti harumanis Perlis terus kekal. – SM

(Visited 707 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button