Hari-hari soalan siapa PM, hal rakyat tak penting?
ISU siapa lebih layak menjadi perdana menteri dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan Plus semakin menimbulkan perasaan meluat dalam kalangan rakyat.
Ini termasuk Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Rais dalam satu ciapan di Twitter berkata, setiap hari kehidupan rakyat Malaysia dipenuhi dengan soalan siapa yang akan menjadi perdana menteri. Soalan itu sekaligus menyebabkan timbul pertanyaan adakah hal rakyat sudah tidak lagi menjadi penting.
Rais berkata, individu yang layak menjadi perdana menteri adalah mereka yang berjaya mengabdikan diri untuk rakyat dengan jujur.
“Hari-hari kehidupan dipenuhi soalan siapa akan jadi PM Malaysia? Apa, hal rakyat tak peniting lagi? Ikutlah kebijaksanaan pepatah ‘tak berkokok ayam takkan hari tak siang. Siapa yang berjaya mengabdikan diri untuk rakyat dan jujur, dialah jadi PM,” ciap Rais.
Calon Perdana Menteri ke-9 menjadi isu dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan Plus yang dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah, Bersatu dan Warisan.
DAP melalui Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke semalam mendedahkan pilihan calon Perdana Menteri yang dibincangkan dalam Pakatan Harapan Plus.
Loke dalam satu temubual bersama Malaysiakini memberitahu, pilihan pertama adalah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui oleh Warisan yang tetap mahukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.
Menuruk Loke, Warisan memilih Dr. Mahathir kerana percaya bekas perdana menteri itu boleh mendapatkan sokongan ahli Parlimen yang lain untuk membentuk majoriti.
Loke turut mendedahkan, Dr. Mahathir juga mencadangkan beliau diberi masa enam bulan untuk memimpin sebelum menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
Kesemua isu tersebut itu dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung pada 9 Jun lalu dan sepatutnya PKR membuat keputusan mengenai pilihan itu semalam.
Beberapa pemimpin dalam PKR hari ini telahpun bersuara dan menyatakan secara berterus terang mereka tidak mahu Dr. Mahathir sebagai calon PM-9 berdasarkan rekod Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini.
- Calon PM: Maaf, AMK tidak sokong Tun M, tidak sokong kerosakan kali ke-2
- Tak adil paksa Anwar terima Tun M sebagai calon PM-9
Ini termasuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia yang tidak menyokong Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-9 bagi pihak Pakatan Harapan.
Ketua AMK, Akmal Nasir berkata, kaedah memilih kejahatan dari kalangan jahat-jahat ‘lesser than two evils’ perlu dihentikan.
“Maaf, saya dan rakan-rakan AMK tidak bersetuju. Saya percaya pendirian kami ini mewakili suara akar umbi PKR dan pendokong Pakatan Harapan,” kata Akmal.-SM