Politik

Tak adil paksa Anwar terima Tun M sebagai calon PM-9

TIDAK adil untuk memaksa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ke-9 (PM-9)

Menurut Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, adalah juga tidak adil untuk memaksa Anwar selepas apa yang dilalui oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini.

“Setakat ini Pakatan Harapan belum mencapai kata sepakat isu Perdana Menteri ke-9.

“Justeru tidak adil untuk memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM ke-9 apatah lagi dengan apa yang beliau lalui sebelum ini,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata,  pemaksaan itu juga tidak adil tambahan rekod Dr. Mahathir dalam isu peralihan kuasa yang menimbulkan ketidaktentuan ketika Pakatan Harapan memerintah sebelum ini.

Nik Nazmi mendakwa  krisis politik yang dilalui negara selepas Langkah Sheraton adalah sebahagiannya berpunca daripada tindakan Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa berhubung dengan rakan-rakan dalam PH.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga berkata, sehingga kini Anwar dilihat calon terbaik sebagai Perdana Menteri seterusnya untuk permulaan baru Malaysia.

“Krisis politik yang kita lalui selepas Langkah Sheraton sebahagiannya berpunca dari tindakannya meletak jawatan tanpa berbincang dengan rakan-rakan PH dan keyakinan bahawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pas bersamanya.

“Malaysia perlukan permulaan baru, kerajaan bersih yang fokus untuk ekonomi yang lebih adil dan saksama untuk semua rakyat. Calon terbaik adalah Anwar Ibrahim,” kata Nik Nazmi.

Anwar hari ini berkata, Pakatan Harapan (PH) masih belum mempunyai keputusan muktamad berkaitan calon Perdana Menteri yang akan mewakili gabungan itu.

BACA Berilah peluang kepada Anwar jadi Perdana Menteri

BACA Jawatan PM-9 juga bukan hak mutlak Dr. Mahathir

Anwar berkata walaupun terdapat banyak gesaan, pihaknya perlu mengambil pandangan pelbagai pihak bagi mencapai kata sepakat berkaitan perkara itu.

“PH sebagai satu badan memang telah buat keputusan tetapi kita perlu rujuk juga dengan teman-teman lain termasuk Warisan dan kelompok Bersatu di bawah pimpinan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad),” katanya dalam menerusi siaran langsung di laman Facebook peribadi beliau hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan parti itu ada mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan calon Perdana Menteri, dan memaklumkan parti akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila keputusan muktamad sudah dicapai.-SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button