NasionalParlimen

Harga siling pelitup muka ditetapkan 7 sen 1 lapisan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan, harga maksimum peringkat runcit untuk pelitup muka 1 lapisan ialah 7 sen seunit, 2 lapisan pada harga 20 sen seunit dan 3 lapisan pada harga 70 sen seunit.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian telah mewartakan pelitup muka sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah menetapkan harga maksimum bagi pelitup muka ini di bawah Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.7) 2020 pada 1 November 2020.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan sedang meneliti keperluan mengkaji semula harga siling untuk Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri).

“Untuk makluman, harga maksimum kit ujian ini telah ditetapkan RM19.90 di peringkat runcit dan RM16.00 di peringkat borong di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya di Dewan Rakyat hari ini dalam menjawab soalan Tuan Cha Kee Chin (Rasah).

Dari aspek keberadaan bekalan di pasaran, kata Alexandar, Kerajaan telah mewartakan Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri) ini sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021 yang lalu.

“Berhubung dengan cadangan Yang Berhormat supaya Kementerian menetapkan harga siling peranti oximeter dan penyukat suhu, saya menghargai dan menyambut baik cadangan tersebut.

“Di pihak Kementerian, penetapan harga ke atas peranti tersebut akan dilaksanakan jika terdapat keperluan. “Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan dan kepentingan pengguna terutama dari aspek kecukupan bekalan di pasaran serta mendapatkan harga pelitup muka dan kit ujan kendiri pada harga yang tidak membebankan,” jelas Alexander.

Sehubungan itu, beliau berkata, penguatkuasaan, pemeriksaan dan pemantauan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP sentiasa dilakukan ke atas item berkaitan di setiap peringkat seperti peringkat pengilang, pemborong dan peniaga.

Ini, katanya, bagi memastikan pelitup muka dan kit ujian kendiri dijual mengikut harga yang telah ditetapkan di samping memastikan kedua-dua item ini sentiasa cukup dan mampu menampung permintaan terutama permintaan yang agak tinggi ke atas kit ujian kendiri sejak akhir-akhir ini.

Tambah beliau, akses pengguna untuk mendapatkan kit ujian kendiri ditambah baik tanpa mengabaikan kepentingan aspek kesihatan dan keselamatan awam.

“Ini dibuktikan melalui persetujuan bersama antara KPDNHEP dengan Pihak Berkuasa Peranti (MDA) KKM supaya kit ujian kendiri Covid-19 yang memperolehi Kelulusan Bersyarat dari MDA dibenarkan dijual di premis-premis lain yang memenuhi syarat-syarat dan keperluan berkaitan yang ditietapkan oleh Kerajaan,” ujarnya.

Alexander berkata, jika berlaku kekurangan bekalan di pasaran, pihak pengeluar sentiasa mengisi semula bekalan agar tidak berlaku gangguan yang serius di pasaran. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button