Merrepak

Harapan rakyat terhadap Muhyiddin

WALAUPUN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan beliau tidak sentuh hal politik kerana rakyat berasa muak semasa Covid-19 ini, orang ramai tahu beliau hanya menunggu masa yang sesuai untuk tujuan tersebut.

Memang tidak digembar-gembur, satu demi satu pelantikan di agensi-agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC) yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditamatkan perkhidmatan, terutama lantikan daripada kalangan ahli politik.

Ini kita ketahui pun bila ada pengumuman rasmi dari pejabat Ketua Setiausaha Negara. Mungkin jika tidak kerana Covid-19, perubahan pucuk pimpinan ini pasti menjadi tumpuan utama.

Ada kalangan PH memprotes bahawa lantikan zaman mereka adalah individu profesional dan kini diganti PN dengan lantikan politik. Maaflah. Zaman PH pun ada tokoh masyarakat diberhentikan bagi memberi laluan kepada kroni parti DAP seperti yang dilalui Tan Sri Lee Lam Thye.

Kepada penyokong PH : “Sukahatilah siapa PN hendak lantik, PN bukan kena menjawab manifesto. PH ada manifesto pun tidak terlaksana,’’ kata penyokong PH.

Jika anda mahu lihat dan meneliti perang hujah antara penyokong PN dengan PH, rajin-rajinlah belek Facebook dan Twitter.

Orang mungkin muak bercakap pasal politik secara terbuka tetapi di media sosial, suasana riuh-rendah, merrepak, kecoh dan meletup-letup ditambah lagi dengan fraksi UMNO yang anti-PH tetapi tidak juga sayangkan PN.

Lebih 4 kerusi sahaja

Sebahagian besar pengikut PH mungkin masih menaruh harapan untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang. Majoriti yang dimiliki oleh PN hanyalah 113, manakala PH ada 109. Beza empat sahaja!

Apakah ada `langkah’ lagi di belakang tabir untuk mencuri empat kerusi itu? Entahlah. Mujur ada Covid-19, kalau tidak berterusanlah negara bergelodak dengan permainan politik.

Ini menjadikan kedudukan Muhyiddin agak tidak selesa. Asalnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad membentuk PH bersama komponen parti lain iaitu DAP, PKR dan Amanah.

Zaman Tun Dr. Mahathir pun tidak selesa kerana beliau dituntut mengosongkan kerusi Perdana Menteri untuk diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Desakan itu menjadi kronik awal tahun ini dengan Tun Dr. Mahathir meletak jawatan sekali gus menumbangkan pentadbiran kerajaan PH.

Sila ingat fakta ini sampai bila-bila ya: kerajaan PH ditumbangkan oleh tekanan dalaman parti-parti komponen PH sendiri kerana berebut jawatan Perdana Menteri.

Kedudukan Muhyiddin sebagai presiden di dalam Bersatu juga dilihat aneh disebabkan Tun Dr. Mahathir memenangi jawatan Pengerusi parti tanpa bertanding. Fraksi Muhyiddin dipercayai menguasai 15 ahli parlimen manakala empat atau lima lagi kekal setia bersama Tun Dr. Mahathir.

Orang muak bercerita pasal politik, tetapi orang ramai tidak sabar untuk melihat apa cerita Bersatu ini? Sudahlah perikatan Bersatu dengan UMNO-Pas, GPS, MIC dan MCA bersifat kahwin kontrak, hal-ehwal dalaman Bersatu sendiri belum dirawati.

Di manakah UMNO?

Memang benar, penyokong tegar UMNO khususnya tidak menyunting bahasa bila mahu mengkritik kerajaan PN sekarang. Lihat saja kritikan mengenai isu moratorium bank dan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan mulai 4 Mei. Ada yang mirip kecaman!

Semua itu dilontarkan tanpa mempeduli soal pemimpin kanan UMNO menganggotai Kabinet, ini kerana UMNO tidak pernah mengajak ahlinya supaya bermesra dengan Bersatu tetapi memang mahu ahli-ahli Bersatu kembali kepada UMNO.

Ini secara umumnya menunjukkan UMNO sudah pulih daripada kekalahan 2018 dan kini amat yakin untuk turun berperang dan seterusnya memenangi Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Malah ketika mula tercetus idea kerajaan gabungan dengan Bersatu, ramai ahli UMNO membantah. Ini kerana Bersatu itu sendiri adalah serpihan UMNO dan dalam perang pilihan raya, banyak benda melukakan hati telah berlaku dan masih lagi berdarah.

Namun, pucuk pimpinan UMNO berpendapat satu daripada matlamat iaitu menumbangkan kerajaan PH boleh dicapai menerusi kerjasama dengan Bersatu. Ringkasnya, kemasukan UMNO ke dalam PN, adalah sekadar sementara sehingga PRU15 dan fakta ini sering diperingkatkan kepada Muhyiddin.

Ada suara mencemuh bahawa kembalinya UMNO ke dalam pemerintahan ini bermakna tuduhan-tuduhan pecah amanah dan rasuah terhadap pemimpin parti akan dimansuhkan.

Percayalah, ramai ahli UMNO mahu perbicaraan diteruskan supaya individu terbabit boleh membuktikan mereka tidak bersalah. Tetapi untuk `swept under the carpet’, zaman dan era ini tidak lagi sesuai diamalkan.

Apa yang diharap rakyat daripada Muhyiddin?

Usaha menangani pandemik Covid-19 ini secara automatik menjadi penanda aras sejauh mana pentadbiran Muhyiddin dapat mengawal penyakit dan menyakinkan rakyat.

Kecaman terhadap isu moratorium bank haruslah dijadikan peringatan bahawa perubahan pada menteri sahaja tidak memadai jika agensi lain kerajaan masih dikuasai individu yang dilantik oleh PH.

Mereka ini sepatutnya meletak jawatan bila kerajaan bertukar, nampaknya tebal kulit terus memegang kuasa di agensi kerajaan berkenaan. Sekarang sila pecat.

Bila sudah bersedia bercakap pasal politik, rakyat mahu Muhyiddin mengarahkan pemeriksaan semula kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Siasat semula juga mengapa dan bagaimana pihak yang didakwa terlibat dengan kumpulan teroris luar negara boleh dilepas bebas, walhal mereka ditahan atas siasatan rapi polis.

Siasat semua segala kemungkinan apakah ada salah guna kuasa, yang dilakukan oleh mereka yang memegang kuasa seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pejabat Peguam Negara sehingga Jemaah Menteri.

Bertindak secara perundangan terhadap mereka yang kononnya melakukan reformasi tetapi merosakkan negara, adalah antara harapan rakyat terhadap Muhyiddin.

Dan hanya dengan cara ini barulah Muhyiddin boleh mendapat keyakinan rakyat jelata pada PRU15 nanti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button