Politik

Harapan lebih baik di tahun 2021

Hentikan sengketa kata Ahmad Zahid

SELAMAT Tahun Baharu 2021. Ramai yang tutup tirai tahun 2020 tetapi itu tidak bermakna tutup buku sepenuhnya kerana apa yang berlaku sepanjang tahun lepas, dijadikan pedoman dan iktibar untuk tahun baharu.

Tidak kira sama ada dunia politik dalam negara, hiburan mahupun kehidupan tetapi tidak perlu untuk merasakan riak kerana kehebatan dalam melakukan sesuatu perkara.

Awal tahun lepas (2020) bermula wabak Covid-19 yang akhirnya menular di seluruh dunia dan menjadi pendemik.

Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya, amat sukar kehidupan yang ditempuhi tahun lepas kerana Covid-19.

Tetapi kekuatan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dibawa bersama untuk melangkah ke tahun baharu, katanya.

Dalam keadaan kes Covid-19 meningkat dan mencecah ribuan kes setiap hari, kita semua sedang mengadaptasi normal baharu kehidupan.

Pergilah ke mana sahaja, kita sudah pandai memakai pelitup muka atau face mask apabila berada di tempat awam yang ramai orang.

Kita semua juga sudah tahu menjaga penjarakan fizikal mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang diingatkan kepada kita setiap hari sama ada oleh Menteri mahupun Ketua Pengarah Kesihatan.

Dalam berhadapan dengan kesukaran untuk meneruskan kehidupan di tahun baharu, apakah yang diperlukan oleh rakyat?

Perancangan dan pelaksanaan ekonomi yang lebih baik daripada kerajaan dan pemimpin parti-parti politik tanpa mempolitikkan isu-isu yang tidak membawa manfaat kepada rakyat marhaen.

Kalau mengikut cakap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan khas sempena Sambutan Tahun Baharu 2021, beliau berkata, “sudah tiba masanya berhenti mendengar suara mereka di atas tetapi harus turun ke padang dan dengar sendiri denyut nadi rakyat.”

Kesedaran sebegitu perlu ada bukan sahaja pada diri Ahmad Zahid dan UMNO tetapi semua yang bergelar Presiden parti politik di Malaysia.

Ahmad Zahid, bagi pihak UMNO, turut meminta maaf di atas kesusahan yang sedang rakyat hadapi dan tabah dalam menghadapi ujian ini.

Kata Ahmad Zahid, retorik politik, sejukkan keadaan. Tidak ada pemimpin yang harus menjadi seteru dan hentikan sengketa.

“Sama-sama kita fikir pendekatan terbaik untuk pacu ekonomi negara dan kurangkan kos sara hidup. Kita sama-sama bantu rakyat hadapi tekanan kewangan,” katanya.

Ada kalanya mendengar keluhan rakyat lebih penting daripada menyantuni orang kaya dan berkepentingan, itu kata Ahmad Zahid dan beliau turut menambah, dalam pengeluaran caruman KWSP, perlu kewajaran dan kewarasan.

Di tahun baharu ini, jadilah rakyat yang lebih beradab sopan, tahu menghormati institusi raja-raja. Cukup-cukuplah menghina Agong mahu pun agama yang mana itu semua adalah isu yang amat sensitif.

Buku baharu, ‘rakyat Malaysia yang baharu’ yang lebih proaktif dan kehidupan yang lebih baik sepanjang 2021. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button