NasionalNegeri

Haram judi: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis “neutral”

DEWAN Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis hari ini menjelaskan berada pada pendirian “neutral” terhadap isu-isu berkaitan judi oleh kerajaan negeri Perlis.

Presidennya, Koay Chee Khoon berkata, ia sama ada berkaitan dengan pengharaman aktiviti ini di negeri ini dan juga tiada lagi kebenaran memperbaharui lesen premis menjual nombor ekor setelah tamat tempoh.

“Pada pandangan kami, kerajaan negeri seharusnya menjalankan kajian dan meneliti dari pelbagai sudut termasuklah segi perundangan sebelum pembentukan sesuatu polisi demi kebaikan orang bukan Islam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkaitan isu pengharaman judi dalam satu temubual eksklusif dengan wartawan akhbar Sin Chew Daily.

Sin Chew Daily melaporkan, Menteri Besar Perlis dijangka akan membawa isu judi ini untuk dibincangkan di dalam mesyuarat exco, minggu depan.

Dalam petikan akhbar itu, Shukri berkata, beliau tidak pasti sama ada premis-premis menjual nombor ekor telah menerima surat berkaitan ini daripada MPK.

Sehubungan itu, Shukri akan membawa isu ini ke mesyuarat exco pada minggu depan untuk mendapatkan pandangan daripada exco lain.

“Kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen baru, apa yang nak dibincang sekarang adalah premis yang sedia ada dibenarkan memperbaharui atau tidak. Tapi ini cuma setakat peringkat perbincangan, masih belum ada keputusan,” katanya.

Mengulas isu ini lagi kata Chee Khoon, tidak dapat dinafikan penutupan premis judi adalah cara membendung gejala judi sekaligus membolehkan orang bukan Islam memupuk sifat menyimpan wang, mengurangkan tekanan hidup serta menggalakkan suasana sosial yang harmoni.

“Namun begitu, usaha tersebut tidak semestinya memberikan kesan terhadap mereka yang sudah ketagihan judi ekoran alternatif berjudi secara dalam talian, membeli pertaruhan ke premis judi yang haram dan sebagainya,” katanya.

Oleh itu, katanya, penutupan premis judi bukan satu-satunya tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membanteras aktiviti perjudian.

Sehubungan itu katanya, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis mengharapkan pelan strategik yang lebih komprehensif ke arah mengecilkan industri judi dilakukan secara berperingkat oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, ia termasuklah menaikkan kadar cukai, meningkatkan kadar hukuman dan penalti mandatori, mengadakan kempen kesedaran terhadap keburukan dalam ketagihan judi, polisi pembangunan tempatan dan lain-lain supaya orang bukan Islam mendapat peluang untuk menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi negeri dari sudut lain. – SM

BACA Tak logik syarikat judi salur dana kepada PN-Hadi Awang

BACA “Perlis Baharu” bakal henti lesen judi

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button