Hanya kerana galak pelajari Jawi, Tunku Azizah dituduh berpolitik
KUALA LUMPUR – Hanya kerana menggalakkan rakyat untuk mempelajari tulisan Jawi, seorang pengguna Twitter menuduh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah cuba bermain politik.
Tunku Azizah dalam Twitternya memberitahu, anakanda baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah mempelajari tulisan Mandarin untuk O-Levels dan perlu menghafal 500 aksara dan berjaya mendapat A untuk subjek tersebut.
Justeru menurut Tunku Azizah, tidak rugi untuk seseorang belajar tulisan dan bahasa lain termasuk Jawi.
“Andakanda saya Muhammad mengambil Mandarin untuk O-Levels dan dia perlu menghafal 500 aksara dan dia mendapat A. Saya selalu meminta dia mengajar saya dan saya dapati ianya sangat sukar untuk dipelajari.
“Malah Permaisuri Johor major dalam Mandarin ketika di Oxford. Tak rugi belajar Jawi atau bahasa dan tulisan lain,” kata Tunku Azizah.
Bagaimanapun seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama ‘pengesanpenipu’ tidak senang dengan ciapan Tunku Azizah dan menuduh Raja Permaisuri Agong cuba bermain politik dalam isu Jawi.
“Apabila keluarga diraja melibatkan diri dalam politik, bersedialah untuk mendapat reaksi balas. Adalah lebih baik biarkan politik ditangan ahli politik. Dengan cara itu keluarga diraja akan terus dihormati.
“Rakyat boleh melihat anda membuat percubaan besar untuk menyampikan pendapat,” tuduh pengguna Twitter tersebut.
Bagaimanapun Tunku Azizah menafikan tuduhan pengesanpenipu. “Saya tak pernah bincang politik dalam Twitter,” tegas Tunku Azizah.
Sebelum itu, Tunku Azizah dalam ciapannya berkata, tiada apa yang rasis apabila berbincang mengenai Jawi.
“Tiada apa yang rasis. Saya hanya bercakap mengenai keindahan Jawi dan kesenian Islam. Untuk menghargainya seseorang itu tidak perlu pun menjadi seorang muslim.
“Seseorang tidak perlu menjadi Melayu untuk menjadi muslim. Ada sahaja orang Melayu yang bukan beragama Islam. Dalam Islam kita tidak terikat kepada bangsa tetapi kepada kepercayaan dan keimanan terhadap Allah,” kata Tunku Azizah.
Isu tulisan Jawi ketika ini sedang hangat diperkatakan apabila Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.
Malahan pertubuhan itu dikatakan akan mengadakan persidangan berkaitan tulisan Jawi pada 28 Disember nanti walaupun dinasihatkan untuk dibatalkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khamis lalu, Dong Jiao Zong menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres membantah tulisan Jawi itu bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.
Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.
Ogos lalu, sembilan pertubuhan berkaitan pendidikan Cina membantah pelaksanaan tulisan jawi untuk pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) di negara ini.
Susulan itu, Kabinet memutuskan pengajaran tulisan jawi itu tertakluk kepada persetujuan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah vernakular.-SM