Hanya calon peperiksaan utama ke sekolah mulai 20 Jan. ini
BUKAN semua pelajar perlu ke sekolah apabila sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara.
Sebaliknya ia hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020 terlebih dahulu.
Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan keputusan itu selepas perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta merujuk kepada trend kes Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Hasil daripada perbincangan itu, diputuskan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
“Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Jan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Pendidikan turut menyarankan agar semua ketetapan ini diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.
Mengenai pelajar yang sudah mula mendaftar di asrama hari ini, KPM membuat beberapa ketetapan antaranya pelajar Tingkatan 4 dan 5 sekolah berasrama penuh boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah atau pulang ke rumah dan mengikuti PdPR.
“Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.
Pelajar Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6, sama ada di sekolah berasrama penuh atau asrama sekolah harian perlu mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
“Keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah,” menurut KPM.
Menurut KPM, pelajar Tingkatan 1, 4 dan 5 di asrama sekolah harian boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah atau pulang ke rumah dan mengikuti PdPR.
Bagi tujuan pengoperasian sekolah, KPM memaklumkan bahawa semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Jan, seperti arahan terdahulu.
“Guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka manakala guru lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan ditetapkan oleh Ketua Jabatan,” menurut KPM.
KPM memaklumkan bahawa pelajar Kolej Matrikulasi perlu kekal di kolej masing-masing bagi mengikuti pembelajaran secara hibrid.
Sementara itu, menjelaskan bahawa semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus manakala yang belum mendaftar boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal di rumah masing-masing.
“PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Jan ini. Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Pada masa sama, KPM memaklumkan semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka. – SM