KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang hari ini kembali membuka mulut membangkitkan isu pembunuhan Altantuya Shariibuu.
Bekas penasihat DAP itu dalam satu kenyataan menerusi blognya limkitsiang.com turut mendakwa ‘hantu’ Altantuya akan terus menggangu Bekas Perdan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau bagaimanapun turut menegaskan tidak pernah menuduh Najib sebagai individu yang membunuh wanita Mongolia itu.
“31 Oktober tahu lepas, saya pernah menyebut ‘hantu’ Altantuya akan terus menghantui Najib dan Malaysia sehinggalah pembunuh sebenarnya dibawa ke muka pengadilan.
“Hantu Altantuya juga akan terus menghantui sehinggalah siasatan penuh selesai dan pembunuh sebenar yang kejam itu dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mengulangi pendiriannya dengan menyatakan lima alasan untuk membuka semula siasatan ke atas kematian Altantuya.
“Pertama, akuan berkanun yang dibuat oleh penyiasat persendirian, P. Balasubramanian pada Julay 2008 menyangkal pelbagai kenyataan dan penafian daripada Najib.
“Kedua, pengakuan Sirul Azhar Umar bahawa dia mengaku menjadi mangsa suruhan untuk membunuh Altantuya.
“Ketiga, Sirul merayu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2009 dan mengaku menjadi ‘kambing hitam’ yang perlu dikorbankan.
“Keempat, kemungkinan pesanan suara ‘cool’ antara Najib dengan Razak Baginda berkaitan dengan pembunuhan Altantuya.
“Kelima, sama ada pembunuhan Altantuya mempunyai kaitan dengan skandal pembelian kapal selam Scorpene,” jelasnya.
Malah, Kit Siang turut mempersoalkan pendirian Najib yang masih meminta kes ini dibua semula susulan akuan berkanun Azila Hadri dan video Deepak Jaikishan. – SM