Hakim Syar’ie perlu lengkapkan diri dengan teknologi – Raja Muda Perlis
Sebagai pemegang amanah dalam menegakkan keadilan syariah, para hakim Syar’ie bukan sahaja perlu memiliki ilmu fiqh dan perundangan semasa yang mendalam, tetapi juga perlu melengkapkan diri masing-masing dengan penguasaan teknologi terkini. Dunia hari ini berkembang pesat dengan pelbagai inovasi digital yang memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan, termasuk sistem perundangan.
Sehubungan dengan itu, penguasaan teknologi bukan lagi suatu pilihan, tetapi satu keperluan asas. Para hakim Syari’e perlu celik teknologi bagi memahami bukti digital seperti dokumen elektronik, transaksi atas talian, dan rekod komunikasi digital yang sering menjadi elemen penting dalam kes-kes moden.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Darat, Beseri.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan bagi mengurangkan kadar kemiskinan golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.
Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan semua pihak seterusnya memberikan impak ke tahap paling maksima.
Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyampaikan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Che Ibrahim Handah, 94 tahun dari Kampung Darat, Kamariah Jusoh, 88 tahun dari Kampung Paya Batas Tinggi dan Doyah Ishak, 75 tahun juga dari Kampung Darat.
Setiap mereka menerima Kits MAIPs Peduli, bantuan wang tunai sebanyak RM 700 beserta beras Fidyah.