Nasional

Purata hasil dolomit Perlis capai RM3.5 juta setahun

PERLIS mencatatkan purata hasil dolomit sebanyak RM3.5 juta setahun dalam tempoh tiga tahun, dengan hasil terkini sehingga Oktober 2024 adalah RM2.7 juta.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, anggaran rizab dolomit di negeri ini adalah sekitar 653 juta tan metrik, dengan peratusan magnesium melebihi 20 peratus.

“Sebarang kuantiti dolomit yang diberikan kepada kuari perlu disertai dengan penghasilan produk hiliran. Syarikat yang telah beroperasi juga diminta membina kilang di Perlis untuk menghasilkan produk hiliran.

“(Juga disyaratkan) bekerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya ketika menjawab soalan Saad Seman (PN-Chuping) dalam sesi Soalan-soalan Lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Terdahulu, Saad menyoal berkaitan anggaran rizab dolomit yang ada dalam negeri Perlis dan berapa hasil terkini yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri Perlis.

“Apakah strategi Kerajaan Negeri Perlis dalam memastikan sumber dolomit dimanfaatkan sepenuhnya tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.

“Serta adakah pihak Kerajaan Negeri Perlis bercadang untuk mengkaji semula pemberian konsesi dolomit sedia ada bagi memastikan hanya syarikat yang menghasilkan produk hiliran diberi keutamaan,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button