Hak PM lantik Ismail Sabri sebagai TPM tetapi…
KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil merakmkan ucapkan tahniah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan Menteri Kanan (Keselamatan) itu ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Walaupun pelantikan Timbalan Perdana Menteri adalah hak dan prerogatif Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang beliau suka, kata Isham, pelantikan ini perlu dibawa untuk dibincang di Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada malam ini.
“Ini kerana Datuk Seri Ismail Sabri masih Ahli Parlimen UMNO dan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan memberi kesan kepada UMNO dari pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi.
“Oleh itu ianya perlu dibincangkan bersama di dalam parti untuk mencapai consensus,” kata Isham kepada wartawan SUARA MERDEKA hari ini.
Isham berkata, Ismail Sabri adalah seorang yang layak dan berpengalaman untuk memegang jawatan tersebut namun demikian, masa dan keadaan sekitar pelantikannya ini adalah amat tidak sesuai.
“Ini kerana adalah amat jelas pelantikan ini adalah kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sedang terdesak dan partinya kini berada di ambang kejatuhan lalu beliau ingin menggunakan UMNO sekali lagi untuk menyelamatkan dirinya dan parti PPBM,” kata Isham yang melontarkan pandangannya.
Katanya lagi, rakyat sedang marah dengan prestasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah dianggap telah gagal menangani wabak Covid-19 yang semakin hari semakin buruk.
Keadaan seperti ini sebenarnya pernah berlaku dahulu iaitu semasa Langkah Sheraton di mana ketika itu rakyat menolak kerajaan PPBM yang dipimpin Tun Dr. Mahathir, ujar Isham.
“Apabila hampir tumbang, mereka (PPBM) terpaksa mengorak Langkah Sheraton dan meminta UMNO untuk menyelamatkan mereka.
“Saya berharap kali ini pemimpin-pemimpin UMNO membuat keputusan yang bijak dan tepat. Akar umbi UMNO sudah lama nampak permainan politik PPBM ini yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan kelambatan negara untuk keluar daripada wabak Covid-19 ini,” kata beliau.
Isham berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu membuat keputusan sama ada mahu menerima atau tidak tawaran Timbalan Perdana Menteri daripada Muhyiddin dan PPBM ini.
“Jika MT UMNO terima tawaran TPM daripada Muhyiddin malam ini, keadaan politik tidak akan banyak berubah.
“Ketidakstabilan politik masih berlaku malahan mungkin menjadi lebih teruk. UMNO masih perlu tunduk dan akan timbul masalah dalaman di dalam UMNO yang akan menyebabkan perpecahan,” ujar Isham. – SM