
Jangan terjebak dalam polemik media sosial
PUTRAJAYA 7 April – Perdana Menteri mengingatkan masyarakat agar tidak terjebak dalam polemik media sosial.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecanggihan teknologi juga menuntut rakyat supaya tidak terheret dalam polemik media sosial sehingga menjadikan semua isu sebagai beban atau medan politik sehingga alpa akan perkara yang lebih mustahak seperti pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial.
“Perubahan marcapada dari segi teknologi dan geopolitik termasuk pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat, menuntut kita semua untuk bersiap siaga dari segi asas ekonomi agar lebih diperkukuh selain pemikiran yang lebih bijaksana dan cekal demi mencapai kemajuan yang lestari.
“Saya singgung perkara tersebut sewaktu Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini dan percaya, dalam konteks pentadbiran, masih banyak perkara yang memerlukan perhatian antaranya kecuaian, ketirisan dan gejala rasuah dalam pelbagai bidang yang harus diperbaiki dengan segera,” katanya dalam hantaran ke Facebook.