AgamaNasional

Guru KAFA sifatkan insentif Belanjawan 2023 bukti jasa dihargai

SEIRING dengan lambang bulan sabit yang tertera pada logo Malaysia Madani bererti Islam dijunjung.

Bagi memastikan syiar Islam terus dimartabatkan maka Belanjawan 2023 tidak melupakan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang dilihat berperanan besar dalam melahirkan generasi muda Islam berjiwa Madani.

Pada pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan elaun sebanyak RM100 menjadikannya RM1,100 untuk manfaat 35,000 guru KAFA.

Selain itu, sumbangan khas berjumlah RM600 turut diberikan kepada guru KAFA.

Beliau sedar bahawa di tangan guru-guru KAFA inilah yang bakal menyemarakkan wadah agama dalam kalangan generasi muda yang akan menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Sekali gus ia membuktikan Kerajaan Perpaduan sememangnya prihatin terhadap perkembangan Islam yang bermula daripada anak-anak kecil.

Maka golongan yang menjadi pendidik seperti ini terus diperkasa supaya cekal mengembangkan perkongsian ilmu Islam.

Sementara itu Yang DiPertua Persatuan Guru KAFA Perlis, Ismail Romli berkata, jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi insentif sebagai tanda menzahirkan penghargaan kepada guru-guru KAFA khususnya di Perlis.

Pemberian insentif tersebut, katanya, dapat memberi motivasi kepada semua guru dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka.

“Sesungguhnya tugas seorang guru amatlah mulia di sisi Allah dan guru memikul tanggungjawab dan menggalas amanah yang berat  lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh cabaran dan pancaroba,” katanya.

Beliau berkata insentif seperti ini hendaklah diteruskan agar para guru dapat menikmati bantuan      ini seperti mana pekerja dan penjawat awam yang lain.

“Sumbangan tersebut bererti para guru merasakan sentiasa dihargai dan disanjungi, sekali gus pengajaran dan pembelajaran akan terlaksana dengan berkualiti dan berkesan serta melahirkan kemenjadian murid yang bersifat insani dan Madani,” katanya.

 

Nur Fatin Nazela Sharudin, 31, amat bersyukur kerana kerajaan tidak melupakan guru KAFA dalam Belanjawan 2023.

“Saya amat bersyukur walaupun jumlah tidaklah besar tetapi ia amat berharga bagi menampung perbelanjaan sekeluarga,” katanya yang telah sembilan tahun berkhidmat sebagai guru KAFA.

Beliau menyifatkan pemberian elaun khas ini tanda prihatin kerajaan terhadap kelompok ini yang menabur bakti demi meneruskan kesinambungan ajaran Islam terhadap generasi muda.

Muhamad Amin Khosim, 27, berkata, bayaran RM600 ini sekali gus membuktikan kerajaan Malaysia Madani mengiktiraf khidmat guru-guru KAFA.

“Sekalipun sekali bayar ia dianggap rezeki yang harus disyukuri,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button