Guru ibarat sel solar yang membakar diri untuk kuasakan yang lain
GURU ibarat lilin.Membakar diri untuk menerangi yang lain. Sejak dahulu dan selama-lamanya. Kini situasi lebih getir mereka perlu jadi seperti sel solar yang membakar diri ke tahap infiniti untuk salurkan kuasa kepada yang lain.
Setiap era dan zaman guru sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran. Tidak pernah kerjaya guru yang kelihatan mudah serta selesa di mata kasar, tetapi penuh dengan dugaan.
Untuk menguruskan kerenah ratusan anak murid sahaja sudah memeningkan dan itu belum lagi gelagat ibu bapa yang palatau.
Menguruskan manusia, selain mengajar adalah rutin harian guru dan kini ditambah pula dengan letusan media sosial dan penularan wabak.
Guru-guru tidak mempunyai masalah untuk mengurus manusia, tetapi ramai yang bergelut apabila mereka terpaksa menguasai teknologi yang menjadi sebahagian daripada alat yang wajib digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dewasa ini.
Mesyuarat melalui maya sesama warga pendidik dan kursus juga melalui maya tidak mengira waktu atau hari rehat guru. Dari selepas subuh hingga ke dini hari perlu melayani rutin hari yang baharu.
Itu belum lagi kumpulan dalam pelbagai pelantar media sosial bersama-sama ibu bapa, murid-murid dan guru-guru.
Pelbagai soalan dan persoalan perlu dijawab segera, walaupun selepas dinihari, kerana anak didik yang bakal menghadapi peperiksaan utama dalam keadaan tertekan dan resah.
Pencerahan oleh guru meredakan keresahan dan ketakutan untuk menghadapi peperiksaan.
Guru juga menjadi barisan hadapan setiap hari terdedah kepada penularan wabak maut dan mereka juga menjadi penguasa bagi memastikan setiap SOP dipatuhi oleh murid-murid.
Mereka juga perlu jadi pakar IT dalam sekelip mata. Kudrat mental dan fizikal mereka diperah setiap hari. Dedikasi para guru tiada had dan hanya guru yang memahaminya.
Saya sendiri sebenarnya tidak berani menulis tentang perguruan, kerana hanya yang melaluinya memahaminya. Bagaimanapun daripada pemerhatian seharian saya gagahi menulis.
Kita doakan para guru terus tabah mendepani cabaran mendatang kerana ia tidak akan menjadi lebih mudah daripada sebelumnya.
Selamat hari guru dari kami semua di Suara Merdeka.