NasionalRencah Hidup

Guru, barisan hadapan yang tak di dendang!

Suntik semangat menerusi Program Transformasi Diri Guru anjuran Muhayya Momentum

GOLONGAN guru walaupun dipandang mulia pekerjaan yang dilakukan tetapi dalam keadaan negara turut dilanda pandemik Covid-19 yang menjadi endemik, tidak ramai dalam kalangan kita yang mendengar kegusaran dalam diri seorang guru kerana tidak mahu para pelajarnya tercicir ilmu.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dan Pelajaran mengeluarkan arahan diadakan pendekatan norma baharu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa perlu hadir secara fizikal ke sekolah, golongan guru tetap menyimpan rasa bimbang disebabkan mahu memastikan pelajaran para pelajar mereka adalah ditahap yang terbaik.

Zurina Shaari, 49, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Simpang Empat Sitiawan, Perak, berkata, sepanjang implementasi PdPR, ia bukan sahaja satu perjalanan yang cukup mencabar buat dirinya dan guru-guru yang lain apabila terpaksa memahirkan diri dalam penyediaan bahan menggunakan teknologi ICT. Bahkan keadaan pelajar yang terjejas sering kali mengusik emosi dan naluri keibuannya.

“Anak-anak murid ini ibarat anak sendiri jugalah. Jadi apabila mendapat khabar ada daripada kalangan mereka yang terpaksa makan bubur nasi pada musim PKP/PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan/Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), terus mengalir air mata kerana memikirkan anak-anak didik terpaksa belajar dalam keadaan perut lapar.

“Mereka ini adalah golongan yang terjejas akibat Covid-19 setelah ibu bapa kehilangan kerja dan punca pendapatan. Kisah sebegini memberi kesan emosi kepada saya sebagai guru yang mengajar” katanya yang mengajar tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sains.

Apabila bercakap mengenai PdPR, lazimnya komentar ramai memberikan reaksi bahawa pelaksanaan ini kurang berkesan kepada pelajar.

Kegagalan pelajar memberikan tumpuan, menyiapkan tugasan, tiada kemudahan komputer riba dan masalah internet adalah antara isu berbangkit.

Sehinggakan golongan guru atau pendidik turut terpalit dengan tohmahan ‘makan gaji buta’ disebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berubah. Bagaimanapun kata-kata seperti itu tidak sedikitpun  mematahkan semangat golongan pendidik seperti Zurina.

“Saya tidak pernah putus asa. Saya cuba sampaikan sesi PdPR secara dua kaedah iaitu dalam talian dan luar talian.

“Saya sediakan modul bagi murid-murid yang tidak mampu menyediakan gajet peranti dengan harapan, semua murid berjaya sertai kelas walaupun saya terpaksa sediakan banyak kaedah,”kata Zurina lagi.

Sementara itu, seroang lagi guru, Siti Khadijah Anis, 36, yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Aminah memaklumkan, cabaran sepanjang PdPR adalah dari segi kepuasan mengajar di mana pengajian  secara dalam talian dengan mengajar secara bersemuka atau secara fizikal, menuntut pendekatan yang berbeza.

“Saya mengajar Matematik dan mempunyai tiga kelas tingkatan 5. Pada saya, apabila kita sebagai guru yang mengajar kelas peperiksaan terutamanya bagi murid yang akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tekanannya memang lain.

“Setiap hari kena fikirkan cara yang terbaik untuk murid menghantar kerja dengan mudah, kena study dahulu dan kuasai tajuk yang akan disampaikan kepada murid kerana tahun ini merupakan tahun pertama SPM dijalankan dengan format KSSM (format baharu).

“Justeru kita kena fikir dan sediakan latihan-latihan yang menarik kepada murid supaya mereka tidak bosan dengan kelas yang dijalankan,” ujarnya.

Pada masa sama, sebagai isteri dan ibu, beliau perlu menguruskan rumahtangga dan dalam masa yang sama, pantau PdPR anaknya yang belajar di darjah 3. Sememangnya itu semua, kata beliau lagi, memerlukan perhatian dan sokongan daripada ibu bapa.

“Kadang-kadang guru perlu mengajar anak bila ada waktu terluang antara kelas yang lain. Fizikal dan mental jangan cakaplah memang sangat penat namun saya perlu menguruskan emosi dan masa dengan baik,” jelas beliau jujur.

Untuk kekal positif, kedua-dua guru berjiwa kental ini mengambil keputusan menyertai Program Transformasi Diri Guru anjuran Muhayya Momentum yang diadakan pada 21 Ogos yang lalu.

Zurina dan Siti Khadijah Anis menyertai program  yang dikendalikan oleh transformasi speaker terkenal, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad.

Ini kerana mereka merasakan dalam situasi sekarang golongan pendidik juga memerlukan motivasi, kata-kata semangat serta sistem sokongan, bagi mempersiapkan mental dan fizikal menghadapi sistem pembelajaran yang lebih mencabar.

“Program Transformasi Diri Guru ini bukan sahaja dapat meningkatkan motivasi diri, bahkan melengkapkan nilai kerohanian yang tinggi dalam diri dan berjaya merubah diri ini menjadi insan sentiasa positif dan berjiwa besar. Sentiasa memohon maaf dan memohon dihalalkan ilmu serta waktu pengajaran dengan anak-anak didik,” kata Zurina.

Sementara  itu, bagi Siti Khadijah Anis, beliau meluahkan kelegaannya apabila memutuskan untuk menyertai program ini yang berjaya mengembalikan semangatnya yang sedikit pudar gara-gara tekanan pandemik Covid-19.

“Sememangnya dengan izin Allah, setelah saya sertai program ini sekurang-kurang ianya memberi saya rasa gembira, bersemangat dan yakin apa yang perlu dilakukan. Paling saya ingat, bonda ada sebut kerisauan yang ada ubah kepada doa. Sebab hati murid-murid kita Allah yang pegang.

“Kenapa perlu risau murid kita masuk kelas online ke tidak? Hantar kerja ke tidak? Apa yang bonda katakan semasa program ini antara yang paling memberi kesan dalam hati dan diri saya, doakan murid-murid kita semoga dibukakan pintu hati mereka. Saya akui kadang kita terlupa untuk mendoakan pelajar kita untuk sertai kelas atas talian,” katanya.

Oleh kerana sambutan luar biasa yang diterima pada sesi pertama yang lalu, pihak Muhayya Momentum sekali lagi membuka penyertaan bagi sesi ke-2 program ini.

Program Transformasi Diri Guru 2.0 khabarnya lebih mengujakan dengan kehadiran selebriti terkenal tanahair, Nur Fazura Sharifuddin sebagai tetamu undangan. Hadiah menarik turut menanti peserta yang terbabit.

Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad, ketika dihubungi berkata, Program Transformasi Diri Guru 2.0 adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksana.

Ini kerana walau apapun keadaan kehidupan pada ketika ini, pendidikan tetap perlu diteruskan demi memastikan golongan belia tidak ketinggalan dalam bidang akademik.

“Sebenarnya kalau kita perhatikan dalam apa juga kerjaya, kita akan melakukan sesuatu pekerjaan dengan diri kita.

“Jadi kita perlu ada dua ilmu. Ilmu melakukan pekerjaan dan ilmu menambah baik meningkatkan keberkesanan orang yang melakukan pekerjaan itu,” katanya.

Beliau berkata, cara motivasi yang diberikan ini bukan untuk mengajar tetapi macam mana pengajar itu hendak meningkatkan taraf dari segi imej diri, sistem nilai, tabiat, tindakan dan In Sha Allah kepada hasil yang dilakukan.

Secara peribadi katanya, beliau percaya usaha yang dilakukan dalam membina ummah, melalui gurulah dapat dizahirkan ramai golongan celik ilmu dan cendekiawan.

“Bonda ingin infaqkan diri untuk melakukan transformasi diri guru secara percuma dan diharapkan program ini mendapat sambutan ramai.

“Ia juga salah satu cara bomda menzahirkn kesyukuran dan penghargaan atas segala jasa baik guru-guru yang pernah mendidik bonda dari darjah satu sehingga tingkatan enam atas di Tun Fatimah Johor Bahru,” kata Muhaya yang terkenal membahasakan dirinya sebagai bonda.

Bagi mereka yang berminat menyertai program secara percuma bakal diadakan pada 18 September ini, bolehlah mendafttar dengan menekan link https://muhayyamomentum.com/order/form/transformasi_guru_2

Boleh hubungi talian 019 4447449. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button