Ekonomi

Guna TBB Di Tiga Buah Pulau Jimat Kos, Kurangkan Pelepasan Karbon

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiga pulau peranginan di negara ini iaitu Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tioman akan menggunakan Tenaga Boleh Baharu (TBB) sepenuhnya merupakan langkah terbaik untuk menjaga alam sekitar dan memastikan kawasan pelancongan itu bebas karbon.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., iaitu salah sebuah syarikat pengendali ladang solar terbesar di negara ini, Datuk (Dr.) Ir. Guntor Tobeng berkata, langkah itu akan menambahkan lagi keunikan ketiga-tiga destinasi pelancongan yang terkenal di peringkat antarabangsa itu.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri itu merupakan satu perkembangan yang baik dan tanda keprihatinan Keluarga Malaysia terhadap penduduk di tiga buah pulau terbabit selain memastikan alam sekitar terjamin.

Guntor berkata, penggunaan TBB juga lebih menjimatkan berbanding menggunakan janakuasa diesel untuk menjana tenaga bagi kegunaan penduduk selain mengurangkan pelepasan karbon.

“Penggunaan TBB menjimatkan kos. Kalau kita menggunakan diesel harganya adalaah RM4.50  untuk satu kilowatt per jam. Tetapi jika menggunakan solar dan bateri kos dapat dikurangkan separuh.

“Lebih penting lagi, dengan menggunakan TBB di ketiga-tiga buah pulau ini ia dapat  mengurangkan pelepasan karbon 70 peratus lebih rendah,” katanya.

Katanya, langkah itu selari dengan pembentangan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang lalu, yang telah mengumumkan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca (GHC) bersih sifar pada tahun 2050.

Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Ke-5 2022 pada Isnin antara lain mengumumkan pelaksanaan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu dan Pulau Tioman.

Ia bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

Pengguna elektrik di ketiga-tiga buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca.

Guntor menambah, penggunaan tenaga hijau di ketiga-tiga buah pulau itu akan memberikan imej yang baik kepada Malaysia kerana mempelopori penggunaan tenaga bersih yang tidak mencemarkan alam sekitar di pulau-pulau percutian.

Katanya, secara tidak langsung ia memberitahu dunia bahawa Malaysia amat mementingkan alam sekitar dengan komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida melalui pengguna TBB ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button