Guna lorong motosikal, pemandu ditangkap
PETALING JAYA: Polis menahan pemandu kereta yang ditangkap menggunakan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, berkemungkinan untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Sarifudin Mohd Salleh berkata mereka mengesannya selepas klip video berdurasi 30 saat kejadian itu tular.
Katanya, video itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Mazli Alias di laman Facebook DashCam Owners Malaysia semalam.
“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku di lorong motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan berhampiran Jalan Pantai Baharu.
“Kami mengesan pemandu Honda Civic berusia 30 tahun itu dan menahannya ketika dia hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk disoal siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sarifudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.