Guna alasan Covid-19 untuk tidak naikkan gaji minimum
PETALING JAYA: Gabungan kesatuan sekerja dan pertubuhan pekerja menggesa Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk berhenti “mempersenjatai” Covid-19 bagi menyekat cadangan kenaikan gaji minimum.
Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh berkata pekerja telah menderita sama seperti majikan semasa wabak itu.
MEF berkata cadangan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 menjelang akhir tahun akan membunuh perniagaan, yang masih dalam mod pemulihan ekonomi.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusi bersama gabungan itu, N Gopal Kishnam dan Irene Xavier, berkata ramai pekerja telah diberhentikan, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau mengalami pemotongan gaji yang besar semasa wabak itu.
“MEF tidak seharusnya membesar-besarkan penderitaan majikan dan mengabaikan pengorbanan pekerja mereka,” kata mereka.
“Memandangkan kesan negatif wabak itu telah dipikul sama rata oleh majikan dan pekerja, mengapa majikan tidak boleh berkongsi keuntungan ekonomi mereka dalam bentuk kenaikan gaji dengan pekerja mereka apabila ekonomi semakin pulih?”
Mereka berkata dengan KDNK yang diramalkan meningkat daripada 3.5% pada 2021 kepada 6.2% tahun ini, adalah “tidak adil untuk mengatakan bahawa kenaikan gaji akan membunuh perniagaan”.
“Apabila ekonomi kembali normal, sudah tiba masanya majikan memberi pampasan kepada pekerja dengan tingkat gaji yang lebih tinggi. Kita mesti ingat gaji minimum kita masih di bawah paras kemiskinan,” kata mereka.
Gopal dan Irene turut menggesa kerajaan segera mengumumkan gaji minimum baharu, dengan berkata kelewatan pelaksanaannya melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara yang menetapkan gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun.
Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa kebanyakan perniagaan tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan cadangan gaji minimum baharu kerana mereka masih terkial-kial akibat kejutan ekonomi yang disebabkan oleh wabak dan banjir baru-baru ini.
Beliau berkata kebanyakan perniagaan kecil dan sederhana menderita, malah peningkatan kecil dalam kos boleh menyebabkan mereka ditutup.