Golongan muda diseru sertai Askar Wataniah – Raja Muda Perlis
Golongan muda diseru untuk beramai-ramai menyertai pasukan keselamatan negara termasuklah Rejimen Askar Wataniah sebagai anggota sukarela di mana seseorang itu bakal menjadi generasi pelapis dalam sama-sama memelihara kedaulatan, kesejahteraan dan keamanan negara tercinta.
Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena sambutan Hari Ulangtahun ke-62 Rejimen Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia yang disambut di seluruh negara pada hari ini.
Baginda selaku Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut menekankan bahawa kewujudan rejimen berkenaan dalam membantu anggota tetap tidak dapat disangkal lagi. Ia merupakan platform utama dalam meningkat serta mengenal potensi diri seseorang anggotanya di samping mewujudkan jaringan kerja di antara satu sama lain di dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan pemahaman politik.
Sementara itu, Timbalan Komander rejimen yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak memaklumkan bahawa pihak rejimen berkenaan kini telah merangka perancangan dengan bantuan padu daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) bagi melipatgandakan promosi untuk merekrut golongan muda di negeri ini melalui kaedah ‘1 Masjid mendaftarkan 4 anggota sukarela baharu pada setiap tahun’ sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku Komander untuk dilaksanakan sejurus selepas tamat tempoh PKPB nanti dengan harapan agar penyertaan anggota sukarela akan bertambah terutamanya dalam kalangan anak watan negeri Perlis.
Mohamad Zaidi menambah bahawa buat permulaannya, taklimat Askar Wataniah akan diberikan kepada 5 buah masjid terpilih dahulu sebagai perintis di pejabat JAIPs dalam tempoh seminggu dua ini.
Pihak JAIPs juga akan memperuntukkan slot bagi penerangan berkaitan Askar Wataniah secara langsung dan juga rakaman melalui FB ‘Perlis Mengaji’. Cadangan slot adalah pada jam 9 malam dan tertakluk kepada audien, maka rakaman akan diulang siar dari masa ke semasa.
Selain pihak JAIPs, rejimen juga amat memerlukan komitmen jitu daripada Jawatankuasa-jawatankuasa masjid diseluruh negeri ini untuk sama-sama merealisasikan hasrat besar ini. Berkemungkinan besar juga pihak Rejimen 504 Askar Wataniah akan melantik seorang Pegawai Perhubungan di setiap masjid atau kariah bagi memudahkan sebarang penyaluran maklumat, hebahan, promosi dan sistem ‘merekrut’ keanggotaan baru selepas ini.
Pada masa yang sama pihak Rejimen juga sedang merencana untuk mengadakan perbincangan dengan kepimpinan ‘rumah-rumah ibadat agama lain’ di Perlis bagi menambah keanggotaannya selepas ini.
Di kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda turut menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) ke-62 yang juga jatuh pada hari ini kepada seluruh warganya. – SM