Berita

Rejimen 504 Askar Wataniah anjur kursus

Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia yang berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis akan menganjurkan majlis‘Pelancaran Latihan Askar Wataniah Tahun 2021’ di Kg Seberang Ramai Kuala Perlis bermula jam 4 petang pada hari sabtu, 3 April 2021 yang akan datang nanti.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat meninjau kerja-kerja akhir ‘Program Jiwa Murni’ di sekitar Kampung Pulau Ketam Kuala Perlis.

Seramai seorang pegawai dan 40 orang anggota Lain-Lain Pangkat dari Rejimen 504 Askar Wataniah dan 4 Rejimen Renjer DiRaja teribat dalam kerja-kerja mengecat 27 buah rumah pada laluan ke lima bagi program transformasi secara berfasa yang dilaksanakan di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Sebelum ini, pihak Markas Ke-30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia juga telah melaksanakan kerja-kerja yang serupa pada laluan ke dua dalam projek yang diinisiatifkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama dengan pejabat Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Perlis dan pelbagai agensi negeri dan juga Persekutuan serta swasta dan orangramai yang dijadualkan siap menjelang penghujung bulan ini.

Keberangkatan baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Mejar Kehormat Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail diiringi oleh Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen itu menambah bahawa kolaborasi Rejimen Askar Wataniah dan pelbagai agensi awam dalam melipatgandakan promosi bagi merekrut golongan muda melalui kaedah perang saraf, psikologi dan peranan media perlu terus dilipatgandakan. Begitu juga, Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) dan semua ahlinya perlu memainkan peranan dalam memberikan buah fikiran dan membantu menyelesaikan perkara yang dihadapi rejimen selaras objektif JAKPAW itu sendiri bagi membantu rejimen mencapai misi dan visinya. Semua pihak perlu cakna dan peka dalam memastikan setiap perancangan itu mencapai tujuan serta maksudnya.

‘Sesungguhnya, pasukan simpanan merupakan benteng terakhir negara ini. Setiap warganya samada anggota tetap mahupun sukarela seharusnya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada coretan sejarah dalam melakar kemajuan yang kini lebih sinonim dengan panggilan Askar Wataniah’ tegas Tuanku Raja Muda.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut menzahirkan titah ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Polis DiRaja Malaysia yang ke 214 yang disambut pada 25 Mac kepada Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perlis serta seluruh warga PDRM yang masih berkhidmat dan juga yang sudahpun meninggalkan pasukan beserta ahli keluarga masing-masing di mana sahaja mereka berada.

(Visited 826 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button