Nasional

Golongan anti vaksin Covid-19 bimbangkan KJ

Dasar imunisasi nasional Covid-19 dijangka akan menghadapi cabaran daripada golongan anti vaksin tersebut.

Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, komen yang dilontarkan oleh kumpulan tersebut di Facebooknya menunjukkan dasar tersebut akan berhadapan dengan cabaran yang besar apabila dilaksanakan nanti.

“Beberapa contoh komen mengenai vaksin COVID dari FB saya. Ini menunjukkan cabaran komunikasi yang besar yang akan kita hadapi semasa pelancaran imunisasi nasional,” kata Khairy Jamaluddin.

Tiga hari lalu Ahli Parlimen Rembau itu berkongsi hantaran mengenai jawapan yang diberikan dalam Dewan Rakyat berkaitan vaksin Covid-19.

Hantaran itu mendapat komen daripada kumpulan yang meragui keselamatan dan status halal vaksin Covid-19 yang akan diperoleh pada suku pertama tahun hadapan.

“Saya tak nak divaksin sebab sistem imun saya insya-Allah dapat protect Covid. Sekarang peratus sembuh tinggi, so tak perlu vaksin,” kata Najeeha Jeeha.

“Malaysia paling ramai sembuh tanpa vaksin. Kenapa pula nak vaksin!” bentak Nurshafiqa Jos Abdullah.

“Bahagian wa lu boleh amek KJ. Wa tak pakai vaksin-vaksin ni. Allah dah bagi antibodi yang cukup untuk manusia lawan penyakit,” kata Naga.

“Ramai ja yang keluar hospital. Sihat elok ja yang pernah kena Covid ni. Nak vaksin apa lagi. Sihat dengan sndiri. Allah yang bagi,” kata Pjoy Hoilies.

“Jangan paksa keluarga aku ambik vaksin sudah la,” kata Kham Helmie.

“Jika vaksin itu mengandungi benda haram. Maka menteri-menteri yang akan tanggung semua dosa jika amalan ibadah tidak lagi diterima. Siasat dulu formulanya. Sebab benda ini harus dikaji. Jangan membelakangi al-Quran dan sunnah. Jika kamu membelakangi al-Quran dan as-sunnah nescaya kamu menteri yang akan di tuntut di akhirat kelak. Sebab rakyat tidak tahu apa-apa,” komen Sakuraba Yuchiro Mustapa.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 November lalu,  Khairy Jamaluddin menjelaskan dasar imunisasi kebangsaan Covid-19 kini diteliti menerusi suatu jawatankuasa sedia ada.

Beliau menjawab soalan Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran) mengenai langkah kerajaan bagi menjamin bekalan vaksin Covid-19 kepada masyarakat bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Menerusi pendekatan latihan kepada anggota kesihatan dan imunisasi secara besar-besaran, katanya, program komunikasi bagi menjelaskan kepada masyarakat berhubung taraf keselamatan vaksin Covid-19 akan dibuat.

“Ini bagi memastikan vaksin ini mesti diambil oleh rakyat, untuk lindungi mereka daripada Covid-19. Pelaksanaan kepada pelan imunisasi, dengan latihan dan komunikasi, akan bermula akhir tahun ini bagi mencapai imuniti kelompok,” katanya.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button