Glomac laporkan pendapatan lebih baik dengan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
GLOMAC Berhad (‘Glomac’ atau ‘Kumpulan’) hari ini mengumumkan keputusan belum diaudit bagi suku kedua tahun kewangan semasa berakhir 30 April 2022 (S2 TK2022).
Bagi suku tahun yang dilaporkan, Glomac mencatatkan hasil kumpulan yang lebih rendah berjumlah RM75.4 juta berbanding suku tahun yang sama pada TK2021. Nanum begitu, keuntungan sebelum cukai pula 47.2% lebih tinggi, iaitu berjumlah RM19.5 juta, disokong oleh margin keuntungan kasar yang lebih tinggi.
Projek pembangunan yang menyumbang kepada pertumbuhan ini termasuk Saujana Perdana, Plaza@ Kelana Jaya, 121 Residences, Lakeside Boulevard dan Sri Saujana di Johor.
Prestasi pada suku tahun tersebut mencatatkan peningkatan ketara berbanding S1 TK2022 yang sebelumnya. Hasil Kumpulan meningkat 161% manakala untung sebelum cukai melonjak 418% sambil ekonomi dibuka semula, lantas membolehkan Glomac meneruskan aktiviti pembinaan di projek-projek pembangunan semasanya.
Kedudukan lembaran imbangan Glomac tetap kukuh. Setakat 31 Oktober 2021, paras hutang bersih menyusut kepada 0.23x berbanding 0.25x pada awal tahun kewangan, manakala tunai dan deposit tunai berjumlah M214.5 juta, dengan tahap kecairan secukupnya untuk membiayai aktiviti pembangunan selanjutnya.
Nilai aset bersih sesaham Kumpulan meningkat sedikit kepada RM1.47. Glomac bercadang untuk menggiatkan lagi inisiatif jualannya sambil sekatan ekonomi dilonggarkan dan ekonomi dibuka semula.
Kumpulan bersedia melancarkan projek baharu dengan Nilai Pembangunan Kasar (“NPK”) RM216 juta, yang terdiri daripada fasa tambahan unit-unit kediaman bertanah di bandar-bandar yang telah berjaya dimajukannya seperti Saujana Perdana, Saujana KLIA dan Saujana Jaya di Johor.
Pelancaran baharu juga termasuk tawaran fasa pertama Saujana Utama 5, Sungai Buloh, pembangunan bandar kediaman baharu dengan NPK RM299 juta yang terletak bersebelahan Saujana Utama yang sedang pesat berkembang.
Permintaan bagi hartanah kediaman peringkat pertengahan tetap menggalakkan dan Glomac yakin dengan sambutan positif bagi pelancaran baharu yang akan datang. Untuk terus menambah baik tawaran produk, Glomac turut menyesuaikan kediamannya kepada norma digital baharu dengan menyediakan kemudahan sambungan jalur lebar dan susun atur yang menyokong keperluan bekerja dari rumah. Pelancaran terdahulu di bandar-bandar sedia ada sudah hampir habis dijual.
Glomac akan terus menggunakan strategi pemasaran serampang dua mata, memanfaatkan platform pemasaran digital dan pendekatan galeri jualan fizikal yang lazim.
Dalam jangka pendek, Glomac dijangka dapat terus menjana keuntungan disokong oleh jualan belum dibil berjumlah RM526 juta dan penyambungan aktiviti pembinaan. Dalam pada itu, Kumpulan tetap berhati-hati disebabkan ketidakpastian yang timbul daripada pandemik, yang masih boleh menjejaskan sentimen, walaupun keyakinan semakin meningkat seiring pembukaan semula ekonomi.
Walau apa pun, Glomac kini berada pada kedudukan selesa memegang portfolio tanah pembangunan perdana dengan potensi NPK berjumlah kira-kira RM8 bilion. Berlandaskan lembaran imbangan yang kukuh, Kumpulan dapat menggiatkan lagi aktiviti pembangunan dan memacu pertumbuhan jangka panjang apabila sentimen bertambah baik.