Politik

GLIC, GLC sumbang RM50.8 juta bantu tangani bencana banjir – PM

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menyumbang RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut adalah lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam.

GLIC dan GLC terbabit adalah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sumbangan tersebut diumumkan Ismail selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara petang tadi.

Menurutnya, Kerajaan turut bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

Kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional.

“Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut memutuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera dalam menyelaraskan pengurusan bencana.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi maka
MKN akan mengeluarkan arahan lanjut,” katanya.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak.

Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak.

Bagi membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pembiayaan tersebut adalah tanpa faedah/keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas 6 bulan perjanjian pembiayaan ditandatangan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button