Politik

PM arah banjir di Taman Sri Muda diselesaikan segera

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan banjir di Taman Sri Muda Shah Alam Selangor diselesaikan dengan kadar segera.

Dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang dipengarusikan olehnya petang tadi, Ismail telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Katanya, sehingga petang tadi sebanyak 41 bot, 16 lori dan aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang.

Selain itu, Ismail turut mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas sebagai tambahan kepada empat buah pam sedia ada.

“Ini bertujuan untuk mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang berhampiran.

“Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki oleh JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air yang bergenang ke Sungai Kelang,” katanya.

Ismail turut bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air yang bergenang keluar ke sungai berhampiran dengan segera. Lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

Kerajaan juga mengalu-alukan sekiranya ada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tetapi perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu.-SM

(Visited 354 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button