Politik

Genius matematik Adi Putra sertai UMNO

Genius matematik Adi Putra Abdul Ghani memilih untuk menjadi ahli parti politik UMNO . Pemuda berusia 21 tahun itu menyerahkan borang keahlian kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini pada ceramah  kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim.

Ahmad Zahid mendoakan Adi Putra yang pernah mengemparkan negara dengan kemahiran matematiknya ketika waktu kecil menjadi pemimpin UMNO yang gemilang pada masa depan.

“Baru-baru  ini bersama anak muda, Adi Putra Abdul Ghani, genius matematik yang menyertai UMNO. Tahniah. Semoga menjadi pemimpin gemilang pada masa hadapan,” kata Ahmad Zahid.

Kemunculan Adi Putra pada  program debat Sinar Harian berjudul ‘Apa Pilihan Anak Muda: BN atau Pakatan Harapan?’ pada 10 April 2018 mencuri perhatian hadirin mengenai kecenderungan beliau terhadap politik.

Dia turut bertanyakan soalan kepada salah seorang pendebat iaitu Ketua Pemuda Bersatu ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam soalannya, Adi Putra ingin tahu apa perancangan Pakatan Harapan (Harapan) untuk menambah baik sistem pendidikan negara.
“Adi seorang tenaga pengajar dan mendengar sendiri luahan ibu bapa, guru dan pelajar. Dalam tempoh lima tahun ini, beberapa kali sistem pendidikan telah bertukar.
“Pertukaran ini memberikan kesan besar kepada pelajar. Jadi Adi ingin tanya kepada abang Syed Saddiq, apa perancangan Harapan untuk pelajar sekolah yang boleh ditambah baik?,” tanya Adi Putra.

Pada 2005, negara dihebahkan dengan kemunculan seorang kanak-kanak genius yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam mata pelajaran matematik seperti algebra, indeks dan trigonometri. Ketika itu Adi Putra berusia hanya enam tahun.

Kepintaran Adi Putra dalam bidang matematik mendapat perhatian banyak pihak khususnya mengenai bantuan dan bimbingan yang wajar diberikan kepadanya bagi memastikan kebolehannya digilap dengan sebaik mungkin.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button