Gempa bumi 7.4 magnitud gegar selatan Mexico: Seorang maut, seorang cedera
Amaran tsunami dikeluarkan untuk Mexico, Honduras, El Salvador dan Guatemala
SATU gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud yang berlaku pada pukul 10.29 pagi waktu tempatan (11.29 malam waktu Malaysia) telah menggegarkan selatan Mexico lewat malam tadi.
Gempa berkekuatan 7.4 magnitud itu menyebabkan kerosakan teruk dan turut menggoncang negeri Oaxaca. Gegaran turut dirasai sehingga ke ibu kota Mexico City yang terletak 360 kilometer dari pusat gempa.
Media melaporkan gegaran menyebabkan struktur bangunan bergegar, tingkap pecah, dinding runtuh dan orang ramai melarikan diri keluar ke jalanan di bandar Mexico untuk menyelamatkan diri.
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obradon berkata, dalam malapetaka itu, seorang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam runtuhan bangunan di Huatulco, Oaxaca.
Seorang lagi mangsa yang menjadi korban gempa ditemukan selepas tertimbus dalam rumah yang runtuh di perkampungan gunung kecil San Juan Ozolo-Tepec.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), impak gempa dikesan pada kedalaman 23km.
Gempa pada mulanya dikesan berkekuatan 7.7 pada skala Ritcher sebelum diturunkan kepada 7.4 magnitud.
Peningkatan paras laut dikesan dan amaran tsunami telah dikeluarkan kepada Mexico, Honduras, El Salvador dan Guatemala. – SM