Gelombang pertama banjir bermula
SEBANYAK lima pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka setakat pukul 8 malam tadi di Kelantan membabitkan 120 mangsa banjir, selepas hujan turun berterusan di beberapa kawasan, isyarat awal bakal bermulanya gelombang pertama musim banjir di negeri itu.
Menurut aplikasi InfoBencanaJKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), lima PPS berkenaan melibatkan dua PPS di daerah Kota Bharu dan tiga PPS di Pasir Puteh.
BERNAMA melaporkan Seramai 23 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, manakala 43 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke PPS SK Tiong bagi jajahan di Kota Bharu.
Sementara itu 54 mangsa banjir daripada 13 keluarga ditempatkan di PPS di daerah Pasir Puteh iaitu di Dewan Kompleks Kamil (27 mangsa), SK Changgai (16 mangsa) dan SK Bukit Jawa (11 mangsa).
Tinjauan di Kampung Sri Kulim Melor, dekat sini, mendapati kampung berkenaan mula dinaiki air secara mendadak, rata-rata tempat parasnya mencecah hampir satu meter sehingga menyebabkan banyak jalan raya dinaiki air, menyukarkan pergerakan kenderaan.
Penghulu Mukim Padang Raja Melor, Fadlishah Ismail ketika ditemui berkata keadaan itu menjejaskan kediaman 10 penghuni rumah daripada tiga keluarga di kampung itu.
Seorang penduduk Kampung Sri Kulim Melor, Nik Dzul Afza Md Salleh, 33, berkata air semakin naik terutama di kawasan perumahan di kampung itu sejak pukul 2.00 petang tadi.
“Penghuni rumah sudah bersiap sedia untuk berpindah sehingga malam ini kerana khuatir air semakin naik dan hujan masih lebat. Kami juga sudah diberi nasihat dan amaran supaya menyelamatkan diri secepat mungkin,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail semasa dirujuk mengenai situasi paras air sungai berkata setakat pukul 8.00 malam ini Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan paras air 8.60 meter iaitu melepasi paras amaran 8 meter.
“Jika diikutkan air akan melimpah tebing sekiranya paras sungai melebihi 10 meter. Malah pihak kami di Rantau Panjang sudah bersiap sedia 24 jam terhadap sebarang kemungkinan, sama ada menyelamatkan dan memindahkan mangsa banjir.
“Dalam tempoh ini kami juga melakukan pemantauan di penempatan penduduk kampung terutamanya dikawasan rendah dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pemerhatian petugas Bernama di Bukit Lata, Rantau Panjang di Pasir Mas yang terletak kurang lima kilometer dari Sungai Golok mendapati laluan utama kenderaan masih dibuka seperti biasa namun beberapa kawasan tanah rendah berdekatan lokasi itu sudah mula dibanjiri air berikutan hujan berterusan. – BERNAMA