Nasional

“Gelembung hijau” buka Pulau Langkawi kepada pelancong, pelancongan

September nanti boleh ke Pulau Langkawi

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya di bawah rancangan agresif  merancang membuka pulau peranginan dan pelancongan, Pulau Langkawi kepada pelancong domestik dan asing. Di bawah rancangan agresif kementerian berkenaan, ia membabitkan  pembangunan “gelembung hijau” di pulau yang populasinya 110,000.

Namun begitu sebelum pembukaan Pulau Langkawi dilaksanakan, orang ramai yang merujuk kepada pelancong perlu disuntik vaksin Covid-19. Lebih cepat proses vaksinasi ini dijalankan, lagi bagus kerana itu akan memastikan 80% populasi khususnya di Pulau Langkawi, divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pembukaan Pulau Langkawi dijangka kurang dari tiga bulan akan datang iaitu sekitar September nanti.

Jelas beliau, Pulau Langkawi akan menjadi destinasi pertama untuk program “gelembung hijau” pelancongan dan ini merupakan satu berita baik untuk para peserta industri pelancongan di seluruh negara.

“Khabar ini pasti disambut baik oleh para pengusaha hotel, para pelancongan dalam dan luar negara, peniaga-peniaga dan pemandu pelancong ,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Pulau Langkawi sebagai lokasi perintis sempurna kerana ia terpencil dengan populasi kecil serta pintu masuk dan keluar tunggal dalam bentuk Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Ia bukan sahaja membolehkan kami mengaktifkan semula industri pelancongan Pulau Langkawi ini tetapi turut melihat bagaimana usaha kami dapat ditambah baik di “gelembung hijau” lain dari Pulau Pinang ke Kuching,” kata Nancy yang turut memaklumkan, kementeriannya akan mewujudkan lebih banyak lagi “gelembung hijau”.

Untuk makluman, “gelembung hijau” membenarkan perjalanan antara negeri dengan kurang 40 kes aktif Covid-19 dilaksanakan sebelum ini tetapi kini dihentikan selepas lonjakan semula jangkitan.

Kali ini bagaimanapun, “gelembung hijau” pelancongan akan merujuk kepada destinasi pelancongan yang sudah mencapai imuniti kelompok.

Untuk melakukannya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sekali lagi menegaskan, akan mendorong usaha vaksinasi di destinasi pelancongan agar dipercepatkan dengan bantuan para peserta industri, justeru membenarkan mereka yang sudah divaksin mengunjungi destinasi terbabit.

“Pelancongan yang menyediakan punca pendapatan kepada jutaan orang di negara ini, tidak boleh pulih selagi rakyat tidak boleh mengunjungi destinasi pelancongan, oleh itu memastikan tempat ini selamat dikunjungi adalah penting.

“Kerajaan bergerak sepantas yang kami boleh untuk mencapai imuniti kelompok di seluruh negara tetapi untuk menghidupkan semula industri pelancongan, kita tidak perlu menunggunya. Kita boleh mula dengan destinasi pelancongan, satu demi satu.”

Nancy berkata, kementeriannya akan memainkan peranan untuk mempercepatkan proses vaksinasi dengan memberi subsidi kos untuk tenaga kerja tambahan dan pusat vaksin serta bekerjasama dengan rakan logistik dan pengangkutan.

“Kami akan mengadakan taklimat berhubung SOP dan libat urus secara tetap dengan pihak berkepentingan mengenainya. Sebaik sahaja sebuah destinasi pelancongan mencapai imuniti kelompok, kami akan membukanya untuk aktiviti pelancongan.”

Selain Langkawi, kementerian itu sudah mengenal pasti Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Pantai Desaru, Pulau Perhentian, Kuching, Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman sebagai “gelembung hijau”.

Nancy berkata, mencapai imuniti kelompok di destinasi pelancongan adalah penting untuk membina semula keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Saya berharap peserta industri pelancongan akan bersama kami melakukan semua yang kami mampu untuk mempercepatkan pembukaan semula sektor ini secepat mungkin. Kita boleh melakukannya,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button