Nasional

Tangani konflik, peperangan tamatkan peningkatan jumlah pelarian – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menyeru dunia agar dengan secepat mungkin cuba menangani sebarang konflik dan peperangan yang menjadi punca utama peningkatan jumlah pelarian.

Menurut baginda, meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19, masih berlaku peningkatan ketara jumlah pelarian di seluruh dunia disebabkan konflik dan krisis berpanjangan yang akhirnya mencetuskan peperangan dan penindasan.

‘Difahamkan pada masa ini, kira-kira 80 juta individu telah dipindahkan secara paksaan disebabkan oleh penganiayaan, keganasan atau pelanggaran hak asasi manusia. Jumlah ini merupakan satu rekod yang amat tinggi dan menyedihkan’.

Demikian titah perutusan baginda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) sempena kempen ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ mengambil sempena peringatan ‘Hari Pelarian Sedunia’ yang disambut setiap tahun pada 20 Jun.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, masyarakat khususnya para pemimpin bagi segenap lokasi yang bergolak seharusnya kembali merenung dan berikhtiar sebaik mungkin bagi mencari jalan ‘menang-menang’ dalam menangani setiap isu pelarian masing-masing.

Dalam hubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs telah menzahirkan keprihatinan terhadap pelbagai isu kemanusiaan di peringkat global.

Antaranya baginda sendiri telah berangkat mengetuai “Misi Kemanusiaan MAIPs ke Kem-kem Pelarian Syria” di Mafraq, Jordan pada 2 Februari 2016.

Sebagai susulan, Tuanku Raja Muda melalui MAIPs turut memperkenankan penajaan 5 orang sukarelawan dari kalangan anak Perlis sebagai guru di ‘sekolah lapangan’ di kem-kem pelarian tersebut pada tahun berikutnya.

Selain itu, baginda juga merupakan pembesar dari kalangan ahli kerabat diraja dunia yang pertama yang telah berangkat ke Kem-kem Pelarian Rohingnya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 16 Oktober 2017.

“Misi Kemanusiaan MAIPs” yang diketuai baginda tersebut turut disertai sama oleh pelbagai NGO global dan tempatan antaranya HUMANITY, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Yayasan Utusan, Daffodil International University dari Dhaka dan sebagainya bagi menyampaikan sumbangan sebanyak 5 buah masjid dan juga puluhan telaga air untuk pelarian di sana.

Gambar Arkib

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button