Gedung Kejaksaan Agung di Jakarta Selatan terbakar
GEDUNG Kejaksaan Agung di Jalan Sultan Hasanudin, Jakarta Selatan, Indonesia hangus dalam kebakaran malam tadi pada kira-kira pukul 19.00 waktu tempatan.
Menurut Ketua Penerangan Pusat, Hari Setiyono, siasatan awal mendapati, kebakaran di gedung tersebut bermula dari tingkat enam yang dilaporkan adalah bahagian pentadbiran.
“Api merebak dengan begitu pantas, di bahagian luar gedung sehinggakan rongga-rongga tembok luar bahagian selatan gedung
“Terdengar juga bunyi letupan atau ledakan dari gedung yang terbakar. Puluhan jentera bomba dan penyelamat yang berkejar ke tempat kejadian, berusaha memadamkan api yang memusnahkan sebahagian daripada Gedung Kejagung itu,” katanya.
Api yang menjulang membuatkan pihak bomba terpaksa menyedut air dari kolam Taman Gajak Blok M untuk memadam kebakaran.
Sementara itu, pihak polis yang mengawal keadaan telah meletakkan pita kuning bagi menghalang orang ramai mendekati kawasan kebakaran.
Ini kerana sikap masyarakat yang ‘teruja’ untuk merakamkan foto dan video kebakaran untuk ditularkan tanpa memikirkan soal keselamatan dan nyawa masing-masing.
Sikap tidak peduli ditujukkan oleh segelintir mereka yang berdegil walaupun jelas polis mengepung lokasi berdekatan dengan Blok M iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi kebakaran sehingga ke arah terminal Blok M.
Wakil Gabenor, Ahmad Riza Patria meminta kerjasama semua pihak agar menjauhkan diri daripada lokasi kebakaran.
“Tidak perlu untuk melihat insiden ini secara berdepan atau hampir. Biarlah mereka yang bertugas, melaksanakan tugas dengan baik.
“Jangan disebabkan kehadiran orang ramai di lokasi kebakaran, mengganggu proses memadam api.
“Yang tidak berkepentingan, yang tida ada tugas, silalah kembali. Biar petugas melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, cepat, cekap dan tidak terganggu dengan orang ramai yang mengerumuni lokasi,” ujarnya.
Jumlah kerugian masih belum dapat ditafsirkan dan punca kebakaran juga masih dalam siasatan. – SUMBER KOMPAS.COM – SM