Nasional

Gangguan air: ‘Tak nampak lori tangki, mujur ada perigi’

PENDUDUK melahirkan rasa syukur dengan kewujudan perigi di kawasan kampung mereka walaupun tidak kelihatan lori tangki datang untuk menghulurkan bekalan.

Mereka menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada penduduk yang bergotong-royong menggali perigi sebagai alternatif untuk mendapatkan bekalan air.

Malah mereka juga menyatakan tidak tahu hendak mendapatkan sumber di mana lagi sekiranya tiada alternatif seperti perigi.

“Bagi saya memang betul-betul membantu sejak dari hari pertama tiada air. Sekarang sudah tiga hari rasanya.

“Penduduk dekat sini pun memang susahlah air tak ada. Lagipun bantuan air pun tak nampak.

“Semalam pun, kami hendak minum sampai sudah…memang mandi, apa-apa pun tak boleh.

“Jadi, bila gali perigi, ada kemudahanlah untuk penduduk di sini.

“Memang baguslah kepada Persatuan Anak Jati Jalan Kebun, dengan usaha yang dilakukan.

SUHAILI

Demikian luah salah seorang penduduk di Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam, Suhaili yang terkesan dengan gangguan bekalan air sejak Jumaat lalu.

Terdahulu penduduk melalui Persatuan Anak Jati Jalan Kebun, mengambil inisiatif untuk bergotong-royong bagi menggali perigi sebagai alternatif sumber bekalan air.

Sejak semalam, sebanyak tiga buah perigi digali bagi penduduk yang terdesak mahu mendapatkan bekalan air.

Menurut seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Adznan, beliau menganggap kewujudan perigi ini sebagai penyelamat keadaan.

Katanya, gangguan bekalan air di Selangor bukanlah pertama kali, namun kali ini benar-benar menyukarkan kerana hendak menguruskan anak dan keluarga.

“Banyak membantu, saya sudah tiga hari terdesak, perigi inilah yang menyelamatkan keadaan.

“Macam-macamlah, untuk anak sekolah, makan dan minum. Alhamdulillah.. tak tahu mana punca lain hendak cari.

ADZNAN

“Masalah air macam ini pernah terjadi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi dia (pihak berkuasa) maklum awal dan kita sempat simpan.

“Macam ini mengejut, hendak simpan pun… memang tak ada simpanlah. Habis terus.

“Alhamdulillah, Lorong Bakri depan sekolah, saya diberitahu supaya datang ambil air. Syukur masa itu.

“Pergi ambil, dua tiga kali berulang pun tak apalah, janji anak, isteri semua selesa ada air,” ujarnya.

Turut bersyukur dengan kewujudan perigi ini ialah Mohd. Ali yang juga merupakan penduduk baharu di sana.

MOHD. ALI

Menurutnya, beliau tidak biasa dengan keadaan di sana kerana baharu tinggal setahun di Lorong Bakri, Jalan Kebun.

“Saya tak lihat ada bantuan air seperti lori tangki sampai ke kawasan ini.

“Kalau tiada perigi ini saya rasa sukar, dengan keadaan hampir empat hari tiada air memang seksa betul.

“Bila hendak buang air, pergi dekat luar seperti stesen minyak pun tutup sebab tak ada air.

“Sudah dua tiga kali juga saya datang sini untuk ambil bekalan air.

“Terima kasih kepada penduduk jati di sini sebab saya pun baharu pindah setahun. Bila ada kemudahan ini amat membantu,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button