Gambar ‘isteri baru’ disunting, Najib dan Rosmah buat laporan
PETALING JAYA: Najib Razak dan Rosmah Mansor telah memfailkan laporan terhadap penyebar gambar yang menunjukkan Najib dan seorang wanita yang memeluk lengannya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan menerima laporan itu.
Menurut pengadu yang enggan dikenali, Najib dan Rosmah kelihatan terkejut apabila melihat foto dan kapsyen yang disertakan.
“Mereka berkata gambar itu tidak benar, dan meminta saya membantu melaporkan perkara itu kepada SKMM untuk tindakan lanjut. Mereka berharap akan ada siasatan berhubung perkara itu untuk membuktikan sama ada gambar itu disunting dan sama ada kapsyen itu palsu,” katanya.
Gambar itu telah dikongsi secara meluas sejak beberapa hari lalu. Ia menunjukkan Najib bersama sekumpulan orang pada satu majlis di kediaman peribadinya. Kelihatan seorang wanita muda dengan lengannya dipaut padanya ketika mereka berdiri bersama seorang wanita tua, sepasang suami isteri dan seorang lelaki muda, di hadapan pelbagai kek.
Netizen telah mempersoalkan identiti wanita dalam gambar tersebut. Sifatnya yang kelihatan “terlalu mesra” telah membuat beberapa orang beranggapan bahawa Najib telah mengambilnya sebagai isteri baru.