Uncategorized

Gaji di Malaysia meningkat 5.1 peratus pada 2019, diunjur naik 5.3 peratus pada 2020

GAJI di Malaysia meningkat sebanyak 5.1 peratus pada 2019 dan dijangka melonjak 5.3 peratus pada 2020, demikian menurut Kajian Pengukuran Kenaikan Gaji dan Jumlah Imbuhan Malaysia 2019 oleh Aon plc.

Aon ialah firma perkhidmatan profesional global yang menyediakan pelbagai penyelesaian risiko, persaraan dan kesihatan.

Kadar itu menunjukkan gaji di Malaysia meningkat lebih pantas berbanding di Singapura (3.8 peratus) dan Thailand (4.9 peratus tetapi perlahan berbanding di Indonesia (7.4 peratus).

Pengarah dan Ketua Penyelesaian Ganjaran Aon bagi Malaysia, Rahul Chawla berkata landskap ganjaran di Malaysia sangat aktif pada 2019.

“Persekitaran makroekonomi dan geopolitik yang tidak menentu ditambah dengan keperluan mendesak untuk menyediakan kecekapan menyebabkan perniagaan merombak program ganjaran mereka.

“Dalam tempoh 12 bulan lepas, organisasi telah melaksanakan pelan insentif yang bertujuan memangkinkan transformasi dan menyediakan nilai kepada pemegang saham. Pewujudan nilai bagi semua pemegang kepentingan dan perkongsian nilai dalam kalangan penyumbang utama menjadi ‘mantra’ bagi tahun akan datang,” katanya.

Dengan inflasi tahunan pada 2.4 peratus, rakyat Malaysia mencatatkan purata pertumbuhan 2.7 peratus bagi gaji sebenar pada 2019, meningkat daripada 2.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Memandangkan perkembangan ekonomi dan kenaikan kukuh gaji, perniagaan Malaysia perlu menilai pakej imbuhan mereka bagi memastikan mereka boleh terus menarik dan mengekalkan tenaga kerja paling kritikal mereka.

Menurut kajian itu, bayaran median bagi pekerjaan dalam kejuruteraan dan teknologi adalah agak tinggi berbanding kerja-kerja lain dalam seluruh pasaran Malaysia.

Manakala bayaran median bagi jurutera perisian/pemaju aplikasi meningkat sebanyak 17 peratus daripada tahun sebelumnya dalam pelbagai tahap pegawai kanan, mencerminkan komitmen berterusan majikan Malaysia untuk bersiap sedia bagi Industri 4.0.

Dalam semua industri, pengurus kanan undang-undang memperoleh 20 peratus lebih berbanding purata pasaran, manakala imbuhan bagi pengurus kanan pembangunan perniagaan/perancang strategik adalah 22 peratus lebih tinggi berbanding purata pasaran, menunjukkan majikan menyediakan profesional dengan kepakaran khusus. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button