
Gabungan Aksi dan Emosi, ‘Blood Brother’ Tampil Dengan Plot Tidak Dijangka
DALAM kemeriahan Aidilfitri, Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi mempersembahkan sebuah naskhah aksi penuh intensiti, “Blood Brothers: Bara Naga”, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 10 April ini.
Mengangkat tema dunia gelap mafia — satu latar yang jarang diteroka dalam filem tempatan — karya ini tampil dengan pendekatan yang segar, berani dan mendalam. Tayangan perdana yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya malam tadi bukan sekadar acara perasmian, tetapi juga medan untuk memperkenalkan sebuah karya yang dilihat mampu mengangkat martabat filem aksi Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Diarahkan oleh dua pengarah berkaliber, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem ini dipersembahkan dengan gaya visual yang tajam, sinematografi memukau serta garapan penceritaan yang berlapis dan penuh kejutan. Setiap babak dibina dengan teliti, menyuntik emosi dan ketegangan yang tidak berlebihan namun tetap menghentak perasaan.
Dibarisi pelakon hebat tanah air seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Ray Dap Dap dan ramai lagi, filem ini menyaksikan kekuatan lakonan yang saling melengkapi. Setiap watak diberikan ruang yang cukup untuk menyinar, menjadikan perjalanan cerita lebih hidup dan berkesan.
Dalam sidang media seusai tayangan, Syafiq Yusof berkongsi,
“Filem ini adalah hasil dedikasi dan kerja keras selama dua tahun. Dari penulisan skrip, penggambaran hingga ke pasca produksi – semuanya dilalui dengan penuh kesungguhan. Saya yakin ‘Blood Brothers: Bara Naga’ akan membuka lembaran baharu dalam landskap filem aksi tempatan.”
Sementara itu, Abhilash Chandra menambah,
“Kolaborasi ini benar-benar mencabar dan memperkaya pengalaman saya sebagai pengarah. Kami cuba melangkaui sempadan kebiasaan untuk membawa sebuah kisah yang mentah, realistik dan penuh emosi. Saya percaya penonton akan tenggelam dalam dunia yang kami cipta ini.”
Sebagai seorang wartawan yang hadir pada malam tayangan tersebut, saya melihat filem ini sebagai satu pengalaman sinematik yang tidak dijangka.
“Terus terang, ‘Blood Brothers: Bara Naga’ memberi saya getaran seperti menonton filem Tamil — dari elemen kejutan, penceritaan berlapis hingga ke plot twist yang langsung tidak dijangka. Ia tidak bergantung kepada klise, sebaliknya berjaya mengekalkan keterujaan sehingga ke penghujung. Filem ini benar-benar memberi nafas baharu kepada genre aksi Malaysia.”
Tayangan turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan seperti Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengasas Skop Productions, Datuk Hans Isaac, Pengerusi FINAS serta Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks dan Primeworks Studios, bersama ramai lagi tokoh industri hiburan.
Majlis turut disemarakkan dengan persembahan lagu tema filem, “Bara Jiwa” oleh Azlan Typewriter dan Muzza, yang membawa mesej kekuatan, kesetiaan dan semangat juang menerusi melodi rock yang menyengat dan lirik yang penuh makna.
Untuk peminat yang tidak sabar, tayangan awal “Blood Brothers: Bara Naga” akan bermula pada 8 April di 146 pawagam seluruh negara. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi antara yang terawal merasai pengalaman sinematik penuh aksi ini di layar perak!