Politik

Foto Syed Saddiq panjat pagar lari dikejar pemprotes tular di media sosial

GAMBAR Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memanjat pagar menyelamatkan diri daripada sekumpulan pemprotes malam tadi tular di media sosial.

Dalam gambar itu Menteri Belia dan Sukan itu masih berpakaian formal dengan kemeja lengan panjang berwarna putih dan seluar hitam kelihatan cemas memanjat pagar besi dalam keadaan gelap gelita.

Beberapa orang kelihatan memerhati Syed Saddiq yang cuba memanjat pagar besi berkenaan dengan seorang daripada mereka berada berdekatan dengan Ketua Pemuda Pakatan Harapan tersebut seolah-olah cuba menolong beliau.

Gambar tersebut dipercayai diambil semasa  Ahli Parlimen Muar itu cuba menyelamatkan diri selepas dikepung sekumpulan 200 orang pemprotes di Ulu Tiram, Johor malam tadi.

BACA ARTIKEL: [VIDEO] Syed Saddiq dikepung samseng

Syed Saddiq dalam hantaran Facebook berkata, dia merancang untuk program santai bersama keluar ahli Armada Johor, Srikandi dan Bahagian.

Bagaimanapun katanya, tiba-tiba 200 orang yang berpakaian serba hitam telah mengepung dan mengeluarkan kata-kata kesat dan turut disaksikan oleh ibunya.

“Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini.

“Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadap dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat.

“Lebih teruk, keselamatan semua yang hadir. Bayangkan dikepung lebih 200 orang individu lagak seperti gangster. Saya sendiri, YB Rafiq, YB Mazlan dan lain terpaksa lari guna jalan tikus dan lompat pagar. Lari seperti orang salah,” kata Syed Saddiq dalam hantaran di Facebooknya.

Jika gambar tersebut tulen dan peristiwa tersebut benar maka ia merupakan satu sejarah kerana ia merupakan kejadian pertama kali seorang ketua pemuda parti komponen kerajaan dan seorang menteri terpaksa melarikan diri sehingga terpaksa memanjat pagar untuk menyelamatkan diri di tengah malam dikejar pemprotes.

Persoalan yang ditimbulkan oleh warganet adalah tidakkan ada anggota keselamatan atau sekurang-kurangnya pengawal peribadi yang menjaga keselamatan menteri muda berkenaan serta beberapa orang wakil rakyat yang turut serta dalam majlis tersebut.

Ada juga yang berpendapat tindakan Syed Saddiq tersebut hanyalah sebuah lakonan demi meraih simpati. Antara yang mempersoalkan tindakan Syed Saddiq tersebut ada Exco UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris.

“Polis ada jaga keselamatan dia walaupun dia di boo dan terima jeritan penipu. Tapi nah tengok apa dia buat demi meraih simpati rakyat. Bukannya dia diserang dipukul atau dipijak pun. Ramai polis kawal keadaan dan bukannya polis lari.

“Budak dia sendiri snap gambar dia panjat pagar ni untuk tujuan apa? Kau orang fikir fikirkan lah guys auta Saddiq ni,” kata Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo ketika ini menghadapi pendakwaan di mahkamah atas dua tuduhan mengaib dan mendatangkan kecederaan ke atas Syed Saddiq. -SM

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button