Filem Operasi UFO sarat komedi, tampil pelakon 5 bintang
KISAH sekumpulan sahabat yang lari dari penderitaan di rumah orang tua dan mengejar UFO yang menjanjikan kehidupan awet muda sepanjang zaman. Berjayakah misi mereka?
Itu jalan cerita filem komedi drama, Operasi UFO yang mula ditayangkan di saluran Astro First sejak 5 Februari lalu.
Menariknya, filem terbitan MBC Pictures Sdn Bhd dan diarahkan oleh Khairul Anuar Mat Noor atau dikenali sebagai Abang Warna itu turut menggunakan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sekali gus menjadikan filem sulung terbitan syarikat itu boleh dibanggakan.
Disebabkan itu juga, menurut pengarahnya, Abang Warna filem Operasi UFO itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum mula ditayangkan.
“Penggambaran dijalankan pada bulan September 2020 dan ia memakan masa sedikit disebabkan proses suntingan yang menggunakan CGI. Dalam masa sama untuk kami mendapatkan kelulusan Astro First juga agak memakan masa.
“Kami menjalankan penggambaran ini selama 10 hari dan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi lain di Batu Pahat, Johor kerana kami ingin mendapatkan suasana ladang nanas di sana,” katanya.
Berkongsi di sebalik filem Operasi UFO itu, menurut Abang Warna perancangan asal adalah menerbitkan telefilem.
“Sebenarnya pada mulanya hasrat kami adalah untuk membuat satu telefilem khas untuk TV3 dan juga Astro.
Disebabkan kami ini syarikat yang baharu maka apabila kami nak cadangkan satu tajuk telefilem maka mereka tidak terima disebabkan sudah biasa dengan syarikat yang sudah ‘established’.
“Jadi, kami berhasrat untuk menghasilkan satu telefilem khas dan meletakkan bajet yang tinggi sedikit supaya dapat hasil yang terbaik. Dengan harapan apabila produk ini selesai, pihak TV3 atau Astro akan terima jika hasilnya bagus.
“Apabila sudah siap, ada antara kami yang cadangkan untuk cuba di Astro First pula. Alhamdulillah cerita ini diterima untuk ditayangkan oleh mereka,” katanya.
Abang Warna berkata, sekali lagi pasukan produksi berdepan cabaran dari segi masa dan bilangan pelakon yang ramai.
“Dalam perancangan awal penghasilan naskhah ini kami berhadapan dengan masalah masa yang agak terhad dan bilangan pelakon yang agak ramai maka banyak syot yang perlu dilakukan.
“Apatah lagi lagi kita tidak boleh terlalu menekan pelakon terutama pelakon senior kerana mereka perlu ada masa bertenang dan berehat. Kadang-kadang penggambaran mula pagi dan habis lewat. Jadi, saya pun rasa serba salah untuk mengambil masa yang terlalu lama,” katanya.
Apa pun, Abang Warna bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada pelakon dan kru produksi yang terbabit.
“Walaubagaimanpun, saya dapat sokongan daripada setiap pelakon yang terbabit dan juga setiap tenaga kerja produksi. Semua memberi sokongan yang sangat baik untuk perjalanan penggambaran Operasi UFO ini. Pelakon senior dan baru turut memberi sokongan sepenuh hati dan terbaik untuk menyiapkan naskhah Operasi UFO ini,” katanya.
Filem Operasi UFO dibintangi oleh Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi, Sharif ZERO, Jasmin Hamid, Lousi Alissa Chong, Rozita Che Wan, Redza Rosli, Fahrin Ahmad, Vicha, Adeline Tsen, Hairi Safwan, Laura Olivia, Munir Pak Pandir, Wan Shade dan Mulyady Rudy. -SM