Fathin Amelina calon muda Parlimen Arau yang berani
SEJAK Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Fathin Amelina Fazlie sebagai calon yang bakal bertanding di Parlimen Arau, namanya sudah mula menjadi topik hangat diperbualkan di kalangan pengundi mahupun pemerhati politik.
Siapakah gadis manis berusia 28 tahun yang begitu berani serta sangat diyakini oleh PKR untuk mencuba nasib di kawasan ini yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Tambahan pula di Arau sudah ada nama besar dalam politik iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang sehingga kini sukar digoyah kedudukannya sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Jika benar Shahidan bakal dicalonkan lagi bagi Parlimen Arau, bermakna Fathin harus akur untuk berhadapan dengannya.
“Saya sebenarnya sangat menghormati beliau sebagai tokoh besar dalam dunia politik ataupun sesiapa sahaja yang bakal menjadi pencabar nanti kerana matlamat saya cuma ingin bersaing dalam persekitaran politik yang sihat,” jawap Fatin dengan tenang.
Fatin menceritakan minatnya dalam politik bermula semenjak berpeluang menjadi sukarelawan membantu golongan B40 di Terengganu dan juga menyantuni golongan gelandangan di sekitar Chow Kit.
“Kebetulan pula Kempen Ayuh Malaysia yang dicetuskan oleh
Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar sangat menarik sehingga saya memilih menyertai parti ini,” katanya.
Fathin berkata, beliau tertarik kempen ini mengangkat idea dari rakyat Malaysia berdasarkan isu semasa untuk membina dasar radikal dari sudut jaminan makanan, pendidikan dan sosial dalam jangka masa yang lama.
“Saya sangat menantikan kewujudan parti politik yang ada menawarkan penyelesaian dan polisi jangka panjang,” kata calon Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaya ini.
Fatin yang sejak sepuluh tahun lalu bermastautin di Kuala Perlis kerana mengikut ayahnya pulang ke kampung halaman berharap akan segera bertemu empat mata dengan para pengundinya.
“Hari ini saya turun padang secara tidak rasmi di Simpang Empat, saya berpuas hati kerana rata-rata yang ditemui dapat menerima kehadiran saya ssbagai calon dengan baik,” katanya.
Katanya, beliau sudah bersiap sedia untuk bertemu dengan pengundinya yang disifatkan agak teruja kerana pertama kali dicalonkan kerusi Parlimen.
“Saya faham akan ada yang akan mengaitkan dengan usia muda dan tiada pengalaman,” katanya.
Fathin menyifatkan ia bukan halangan kerana niatnya untuk membantu mengubah nasib rakyat di kawasan ini yang masih dihimpit kemiskinan.
Pengarah Komunikasi Cabang Padang Besar ini menjelaskan, jika ditakdirkan menang atau sebaliknya, ia akan dijadikan sebagai pengalaman berharga bagi meneruskan hasratnya menjadi ahli politik yang berjaya suatu masa nanti. – SM