Walaupun tidak mendapat sebarang tawaran membuat persembahan atau merakamkan single, bekas program realiti popular Akademi Fantasia (AF) musim ke-12, Muhammad Amirul Farouk Mohd. Nor, 30, tetap meneruskan karier bidang nyanyiannya.
Anak jati kelahiran Melaka itu terus bertekad untuk meneruskan perjalanan seninya walaupun hajatnya untuk menjadi artis tersohor masih belum menemui jalan selepas tujuh tahun meninggalkan AF.
Lebih selesa dengan panggilan Farouk berkata, selepas tersingkir dari AF di minggu ketujuh dia kembali ke Melaka dan meneruskan karier seninya sebagai penyanyi busking di merata tempat, di restoran, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Kini, dia menjadi penyanyi tetap di Kafe D’Retro di Plaza Mahkota, Bandar Hilir, Melaka dekat sini bersama pemain keyboard Ramlan Abdul Rahman setiap malam bermula pukul 8.00 hingga 12.00 malam setiap hari.
“Bidang seni saya masih belum berkubur walaupun tidak mendapat apa-apa jemputan membuat persembahan sama ada dari Astro atau pihak lain, karier saya tetap diteruskan.
“Saya akui tidak menjadi peserta favourite dalam AF hingga tersingkir antara sebab saya kurang menjadi perhatian dilamar oleh mana-mana syarikat rakaman.
“Namun ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya dan menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan selagi termampu,” ujarnya ketika ditemui di Kafe D’Retro, semalam.
Farouk berkata, pentas di Kafe D’Retro akan dijadikan tempatnya untuk memperkenalkan semula dirinya sehebat sewaktu beraksi di pentas AF.
Katanya, dia kini memberi tumpuan menyanyi lagu daripada pelbagai genre dalam usahanya untuk bangkit semula di persada seni.
Secara realistik ujarnya, ada ketikanya dia merasakan mungkin rezekinya bukan di bidang nyanyian namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan tersebut.
“Saya lihat setiap bergantung kepada rezeki masing-masing. Ada yang masih bertahan hingga kini, ada yang menghilang terus. Ini semua bergantung kepada nasib,” ujarnya. – SM