MahkamahNasional

Farid Kamil didenda RM5,000 salah guna dadah

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya memerintahkan pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari, 41, membayar denda RM5,000 kerana kesalahan menggunakan ganja, empat tahun lalu.

Dalam membenarkan rayuan Farid mengenai hukumannya, tiga hakim bersidang dipengerusikan Kamaludin Said menggantikan hukuman penjara sembilan bulan dikenakan majistret kepada denda.

Bagaimanapun hakim bersidang juga mengekalkan perintah pengawasan terhadap Farid selama dua tahun berkuat kuasa hari ini. Farid kemudian membayar denda itu.

Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Ahmad Nasfy Yasin dan See Mee Chun berkata, kes itu adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan yang terlalu serius atau berat.

“Hukuman penjara juga tidak sejajar dengan trend hukuman bagi kesalahan dilakukan oleh Farid,” katanya.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah majistret mengenakan hukuman penjara tanpa mengambil kira Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Denda perlu dijadikan pilihan pertama, kemudian disusuli hukuman penjara,” kata Hisyam yang dibantu Kee Wei Lon dan Low Wei Loke.

Beliau juga merujuk sembilan kes undang-undang dibicarakan di mahkamah yang mengenakan hukuman denda bagi kesalahan penggunaan atau kegunaan dadah sendiri.

Farid melakukan kesalahan menggunakan ganja tetra hydrocannibol untuk diri sendiri, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Dia dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan diarahkan berada dalam pengawasan bawah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun oleh Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei 2019.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya, pada November 2019. Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang mewakili pendakwaan. – FMT – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button