Nasional

FAMA sasar edar 2,000 tan metrik beras putih tempatan setiap bulan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan untuk mengedar 2,000 tan metrik beras putih tempatan (BPT) ke seluruh negara setiap bulan.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, pengedaran dilaksanakan di 35 pusat operasi Fama selain 416 outlet usahawan bimbingan Fama, 102 lokasi Jualan Agro Madani dan 726 kedai runcit terpilih.

“Sehingga kini, sejumlah 1,321.6 tan metrik BPT bernilai RM3.37 juta dan 132,160 kampit BPT seberat 10kg diedarkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program “Go Cashless” di Agrobazaar Rakyat Mat Frozen di Kampung Padang Tembak.

Katanya lagi, pihaknya berjaya melaksanakan pengedaran BPT sehingga 90% di seluruh negara dan ia tertakluk kepada bekalan stok yang ada.

“Setakat ini, kita tidak ada masalah dengan pembekal,” ujar beliau.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu semasa sesi penerangan di Dewan Rakyat pada Isnin lepas berkata, Fama dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah diarahkan untuk meningkatkan pengedaran BPT ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar termasuk kedai runcit.

Beliau berkata, memandangkan margin jualan BPT hanya sebanyak 50 sen bagi kampit 10kg pada peringkat runcit, kerajaan bersetuju menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak Fama dan LPP bagi pengedaran BPT.  – SM

BACA Beranikah kenakan hukuman penjara dan sebatan terhadap kartel beras?

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button