Ekonomi

FAMA jual 84,000 kg harumanis

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis telah menjalankan khidmat pemasaran buah Harumanis Perlis secara langsung sebanyak 81,240 kilogram (kg) yang melibatkan 19 orang pengusaha dengan nilai kira-kira sebanyak RM1.6 juta.

Manakala pemasaran secara atas talian melalui portal Agrobazaar Online dengan kuantiti 3,040 kg pula bernilai RM80,000. Secara keseluruhannya 84,000 kg Harumanis Perlis berjaya dipasarkan melalui FAMA Negeri Perlis.

Usaha ini merupakan salah satu langkah untuk mempromosikan dan memasarkan buah istimewa yang mempunyai penggemarnya bukan sahaja di dalam malah luar negeri termasuk Singapura yang telah mula mengeluarkan hasil sejak April tahun ini.

FAMA Perlis juga telah menjana sebanyak RM 700,000 melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam penganjuran Bazar Ramadan di Dataran Asnaf Business Corner (A.B.C.) MAIPs Kangar yang melibatkan 35 orang usahawan dari seluruh Perlis.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan dalam ucapan aluan beliau kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri Bersama Tuanku Raja Muda Perlis anjuran FAMA Negeri Perlis di Pejabat FAMA Negeri Perlis, Behor Temak, Kangar.

Tuanku Raja Muda turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan dalam usaha menggalakkan masyarakat menjadikan buah tempatan sebagai menu dalam setiap hidangan makanan.

Majlis sambutan Aidilfitri itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran seluruh warga kakitangan FAMA Negeri Perlis dan juadah makanan dan minuman yang pelbagai.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button