Parlimen

Fakta menarik sidang khas Parlimen semalam

FAKTA menarik selepas selesai hari pertama Sidang Khas Parlimen, semalam.

  1. UMNO duduk di bahagian kerajaan: Keadaan itu menyebabkan para pemimpin parti itu terutama Datuk Seri Najib Tun Razak atau lebih dikenali dengan panggilan Bossku dikecam oleh pihak pembangkang dan dicap sebagai jaguh Facebook. Mereka begitu lantang mengkritik dan mengugut menarik balik sokongan kepada kerajaan, tetapi apabila di dalam Parlimen mereka duduk bersama sebagai penyokong.
  2. PEMIMPIN UMNO tidak tahu Ordinan Darurat telah ditamatkan pada 21 Julai dan Proklamasi Darurat tidak akan disambung selepas tamat pada 1 Ogos. Ini berlaku kerana kerajaan yang ada hari ini bukan berasaskan kepada sokongan parti, tetapi lebih kepada sokongan ahli parlimen. UMNO sendiri sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, sebaik parlimen dibubar. Jadi tidak hairanlah apabila para menteri kabinet dari parti UMNO tidak memaklumkan keputusan yang dibuat pada mesyuarat kabinet minggu lalu, kerana mereka terikat dengan sumpah rahsia ketika mengambil jawatan menteri. Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan para pemimpin lantikannya memusuhi Muhyiddin, menyebabkan tidak semua keputusan kerajaan dimaklumkan kepada presiden. Ini bukan bermakna mereka mengkhianati parti, tetapi menjaga integriti dan keterangkulan di dalam kabinet.
  3. Pembangkang hanya pandai bercakap. Hari pertama jelas membuktikan bahawa pembangkang yang ada hari ini memang hanya pandai bercakap tetapi gagal apabila diberi tanggungjawab menguruskan negara. Pemimpin pembangkang seperti Muhamad Sabu, Lim Guan Eng dan ramai lagi telah diberi peluang memerintah negara selama 22 bulan. Bagaimanapun telah gagal dengan teruk sekali kerana terlampau bernafsu dan ghairah untuk melakukan perubahan dalam masa singkat demi memenuhi janji-janji kepada golongan minoriti sehingga merampas apa yang selama ini menjadi hak majoriti. Segala urusan yang membabitkan orang Melayu dan penganut agama Islam mahu diganggu dan dicabut keistimewaan atas asas keadilan kepada semua. Akhirnya mereka dicabut dari pentadbiran negara dan dicampak keluar. Pada hari pertama sendiri dapat dilihat bagaimana mereka melalak dan melolong seperti polong yang sudah lama tidak dihidangkan jamuan. Semua mahu digigit dan ganyang hinggakan ketika Perdana Menteri membaca surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada mangsa Covid-19 tidak dipedulikan.
  4. Pemimpin veteran tetap tenang. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berusia hampir 100 tahun dan sudah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, tetap tenang walaupun diejek dan diganggu ketika beliau berucap. Begitu juga dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mengekalkan tarikan ketika berpidato dengan bermula sedikit berdehem dan kemudian menggunakan suara dalam, sambil menggunakan rongga hidung untuk menunjukkan bahawa yang dibicarakan adalah penting, walaupun hakikatnya hanya cakap kosong semata-mata. Reaksi massa jelas sekali masih lagi terpesona dengan kaedah digunakan oleh Anwar. Dalam pada itu Muhyiddin selaku pemimpin kerajaan nombor satu mengambil pendekatan tenang dan mendiamkan diri. Akhirnya pemimpin pembangkang terperangkap atau checkmate ketika Muhyiddin diam dan tenang dalam keributan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button