BeritaPendidikan

UniMAP terus utama penyelidikan beri manfaat kepada masyarakat

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus menitikberatkan dan memberi keutamaan kepada agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan projek-projek penyelidikan yang memberi manfaat kepada komuniti melalui inisiatif Geran Community Project Research Fund (COMPRES) dan Impact Research Fund (IMPRES).

Untuk pemerkasaan penyelidikan, beberapa inisiatif khusus sedang dilaksanakan antaranya ialah Geran Penyelidikan UniMAP berbentuk geran sepadan, geran kolaboratif dan geran pengkomersialan, Geran Graduate Research Asssistant (GRA) dan
Skim Pasca Doktoral. Turut diadakan ialah
Skim Penyelidik Ulung, Dana Penerbitan Saintifik, Bantuan Bayaran Pemprosesan Artikel (APC) bagi penerbitan jurnal ISI Open Access, dan Dana Persidangan.

Kesemua inisiatif tersebut akan disokong oleh Universiti dengan bantuan dana khas penyelidikan dan inovasi yang keseluruhannya berjumlah RM2.5juta.

Foto: UniMAP

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan secara simbolik sambutan ‘Dua Dekad UniMAP’ di Bangunan Canselori UniMAP Pauh Putra pada ahad 25 Julai 2021.

Berangkat sama bagi melancarkan logo, plak arca dan juga lagu rasmi ‘Dua Dekad Tradisi Gemilang UniMAP’ ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor.


Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad.

Tambah Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Canselor, ‘Selain menyumbang kepada komuniti, hasil penyelidikan akan membantu memperkukuhkan pandangan umum terhadap daya saing para penyelidik UniMAP dan meningkatkan keterlihatan dan kedudukan UniMAP dalam kalangan Universiti cemerlang dunia sebagaimana yang ditakrifkan dalam sistem-sistem pengukuran dalam negara dan pada peringkat antarabangsa’.

‘Kita mengharapkan pulangan yang lumayan hasil daripada usaha ini, sama ada dalam bentuk ketara dan tidak-ketara’ terang Tuanku Raja Muda.

Untuk rekod, UniMAP ditubuhkan pada 25 Julai 2001 dengan dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) sebelum dijenamakan kepada Universiti Malaysia Perlis pada 1 Februari 2007 dan ia merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke-17 negara.

Bagi meraikan ‘Sambutan 20 Tahun Penubuhannya’, pelbagai program bulanan telah dirancang bermula Julai 2021 sehingga Julai 2022 yang akan dilaksanakan menggunakan pendekatan hibrid berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

(Visited 60 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button