Exco Melaka 100 peratus ADUN BN, termasuk Rauf
Exco Kerajaan Negeri Melaka yang diumumkan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md. Ali kesemuanya terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional.
Dalam pengumuman tersebut menyaksikan tiada kerajaan campuran antara BN dan Perikatan Nasional di Melaka. Perikatan Nasional memenangi dua kerusi pada PRN Melaka Sabtu lalu, sementara BN memenangi 21 daripada 28 DUN yang dipertandingkan.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang memenangi Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.
Selain Rauf, tujuh muka baru dan dua muka lama turut dilantik sebagai anggota Exco Melaka.
“Senarai Exco berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Simpan Rahsia akan berlangsung petang ini,” katanya.
Beliau turut yakin barisan Exco berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Melaka, sekali gus dapat menggerakkan usaha merealisasikan manifesto serta aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu
Muka baharu yang dilantik adalah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani);
Turut dilantik, ADUN Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO); Adun Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan); Adun Merlimau, Dr Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Antidadah);
ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (Exco Pendidikan dan Teknologi) dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).
Sulaiman berkata, beliau akan mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama, manakala Adun Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.
Sementara Adun Ayer Molek, Rahmad Mariman pula dilantik sebagai Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.-SM