Euro 2020: Wales layak ke pusingan kalah mati
PASUKAN Wales meraikan kejayaan mara ke pusingan 16 terakhir Euro 2020 di sebalik tewas 0-1 kepada Itali di Rom sementara Switzerland terpaksa menunggu tamat saingan semua aksi peringkat kumpulan untuk mara sebagai empat pasukan ketiga terbaik ke pusingan 16.
Gareth Bale dan rakan sepasukannya di Wales tewas 0-1 di tangan Itali di Stadio Olimpico hasil jaringan tunggal Matteo Pessina.
Wales menyaksikan Ethan Ampadu dibuang padang dan gagal mendapatkan gol penyamaan namun keputusan itu sudah mencukupi untuk mereka layak apabila menduduki tempat kedua Kumpulan A kerana mempunyai kelebihan jumlah jaringan berbanding Switzerland yang menewaskan Turki 3-1 di Baku.
Skuad Naga Merah yang melangkah sehingga ke separuh akhir Euro 2016 itu akan beraksi pada pusingan 16 terakhir di Amsterdam, Sabtu ini menentang naib juara Kumpulan B iaitu sama ada Russia, Denmark atau Finland.
Itali kini mengharungi 30 perlawanan tanpa tewas dan meraih kemenangan kali ke-11 berturut-turut tanpa melepaskan gol.
Kemenangan terbaharu itu hadir meskipun jurulatih Itali, Roberto Mancini melakukan lapan pertukaran dan skuad Azzurri itu bakal bertemu Ukraine atau Austria di London untuk pusingan kalah mati.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Switzerland mengakhiri kempen Euro 2020 dengan kemenangan selepas menewaskan Turki 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan A.
Pada aksi di Stadium Olimpik Baku itu, skuad kendalian Vladimir Petkovic hanya memerlukan tempoh enam minit untuk membuka tirai jaringan menerusi ledakan Haris Seferovic.
Biarpun menang, ia belum cukup membawa Switzerland mara ke peringkat kalah mati selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan A walaupun berkongsi empat mata dengan Wales namun dibezakan dengan jumlah jaringan.
Peluang mereka masih terbuka untuk mara sebagai empat pasukan ketiga terbaik ke pusingan 16 terbaik. Namun, terpaksa menunggu tamat saingan semua aksi peringkat kumpulan. – SM