Luar Negara

“Phuket Sandbox” bakal tarik 600,000 pelancong

MULAI 1 Julai, Phuket, pulau peranginan popular di Thailand akan membuka kembali pintunya kepada pengunjung yang diberi vaksin sepenuhnya berdasarkan konsep “Phuket Sandbox”.

Menerusi konsep itu, pelancong yang memasuki Phuket tidak perlu menjalani kuarantin tetapi mereka mesti tinggal di pulau itu selama 14 hari sebelum ke wilayah lain dalam negara gajah putih itu.

Ini adalah projek contoh untuk pembukaan negara secara meluas dalam usaha kerajaan menghidupkan kembali industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha mengumumkan Thailand akan dibuka semula untuk pelancong yang telah diberi vaksin lengkap pada pertengahan Oktober lalu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pejabat Perdana Menteri yang juga jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Ekonomi Thanakorn Wangboonkongchana mengatakan, “Phuket Sandbox” diunjurkan akan menghasilkan aliran tunai sekitar 15 bilion Baht antara Julai dan September.


Pengarah pejabat TAT Phuket Nanthasiri Ronsiri berkata, lima syarikat penerbangan – Qatar Airways, Singapore Airlines, Israel Airlines, Etihad Airways dan Emirates Airlines akan menerbangkan pelancong asing ke Phuket mulai 1 Julai.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 3,682 kes Covid-19 baharu dan 20 kematian sepanjang 24 jam terakhir, mengumpul jumlah keseluruhan jangkitan negara kepada 218,131 dan 1,629 kematian setakat ini.

Daripada kes baharu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) mengatakan 3,642 adalah penularan tempatan 1,198 adalah pengesanan kes aktif, 578 adalah banduan dan 40 kes import.

CCSA mengatakan kematian baharu melibatkan 13 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 26 hingga 90 tahun termasuk 11 di Bangkok, Nakhon Pathom (tiga), Samut Prakan (dua) dan masing-masing satu di Chantaburi, Rayong, Saraburi dan Ubon Ratchathani.

Pembukaan kembali pulau peranginan terkenal Phuket mulai 1 Julai nanti dijangka menarik lebih 600,000 pelancong asing dan tempatan serta menghasilkan aliran tunai sekitar 15 bilion Baht dalam tiga bulan.

Gabenor Phuket Narong Woonciew berkata, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) mengunjurkan kira-kira 129,000 pelancong asing dan 500,000 warga tempatan akan mengunjungi Phuket antara Julai dan September.

Beliau berkata, semua pihak telah mempercepat persiapan untuk memastikan pembukaan semula berjalan lancar.

“Matlamat utama kami adalah untuk menghidupkan kembali ekonomi tempatan dan pada waktu yang sama mencegah penyebaran pandemik.

“Kami berharap dapat menunjukkan kepada penduduk di Phuket dan di bahagian lain negara mengenai manfaat yang akan mereka perolehi daripada pembukaan semula,” katanya dipetik dari laporan Bangkok Post. – SM

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button